Usaha Penamatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia

Konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia yang bermula pada 1963 hingga 1966 memperlihatkan beberapa usaha kearah menjernihkan kembali dan menyelesaikan konflik dua negara ini. Antaranya melalui usaha yang dimainkan oleh Amerika Syarikat. Amerika Syarikat merintis antara usaha terawal untuk memperbaiki hubungan tegang antara Malaysia dan Indonesia. Amerika Syarikat telah menghantar wakil khas mereka, Robert Kennedy yang merupakan Peguam Negara Amerika bagi menjalankan usaha perundingan untuk menamatkan konfrontasi ini. Peranan Robert Kennedy atau Amerika Syarikat ini dapat dilihat dengan jelas apabila beliau menjadi orang tengah didalam perbincangan pendamaian antara Indonesia dan Malaysia.

Proses ataupun usaha Amerika ini bermula apabila Presiden Sukarno bertemu dengan Presiden Macapagal di Manila pada 7 Januari 1964. Sukarno dan Macapagal telah berbincang sesama mereka dan bersetuju untuk bertemu Tunku Abdul Rahman untuk menamatkan konfrontasi melalui penubuhan MAPHILINDO. Dari maksud itu, Sukarno telah bertemu Kennedy di Tokyo dan menyatakan hasrat perbincangannya dengan Macapagal di Manila kepada Kennedy. Kennedy seterusnya melawat Malaysia pada 21 Januari 1964 dan kebetulan bertemu dengan Presiden Kemboja, Putera Norodum Sihanouk. Hasil daripada inisiatif kedua mereka, suatu persidangan Menteri-Menteri Luar Malaysia, Indonesia dan disertai oleh Filipina diadakan pada Febuari 1964 bagi membincangkan penyelesaian konfrontasi sebagai isu utama.

Dalam soal ini, walaupun peranan Keneddy ini tidak menyelesaikan terus masalah konfrontasi Indonesia-Malaysia, sekurang-kurangnya ia telah membawa kepada suatu titik mula kepada pendamaian Malaysia-Indonesia dan membuka jalan kepada usaha-usaha damai yang selanjutnya.

Hasil daripada usaha Kennedy, rundingan peringkat Menteri-Menteri Luar Malaysia, Indonesia, dan Filipina telah diadakan di Bangkok pada Febuari 1964. Malaysia telah diwakili oleh Tun Abdul Razak, Indonesia diwakili oleh Dr. Subandrio manakala Filipina diwakili oleh Salvador P. Lopez. Menteri Luar Thailand, Thanat Koman pula diamanahkan untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Malaysia pada mulanya tidak berminat menyertai rundingan itu kerana Indonesia masih tidak mahu menamatkan dasar konfrontasinya. Namun atas desakan Kennedy dan jaminan Thanat Koman bahawa Sukarno dan Macapagal benar-benar mahu berdamai, maka Malaysia bersetuju menyertai rundingan tersebut. Antara isu utama yang menjadi fokus Malaysia dan Indonesia ialah soal gencatan senjata dan pengunduran tentera Indonesia dari wilayah Malaysia. Dalam soal ini, banyak percanggahan pendapat berlaku. Indonesia mahukan isu politik antara kedua negara diselesaikan terlebih dahulu sebelum isu gencatan senjata dibahaskan.

Rundingan ini ternyata gagal menunjukkan jalan keluar bagi masalah konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia. Namun terdapat ketetapan bersama yang diambil diantara ketiga-tiga negara yang berunding, iaitu gencatan senjata akan diadakan di wilayah Borneo bagi menjamin keharmonian yang dicapai didalam MAPHILINDO. Negara-negara bersidang telah bersetuju untuk menjemput Setiausaha Agung PBB bagi melantik Thailand untuk mengawasi gencatan senjata di Borneo.

Selepas rundingan antara ketiga-tiga negara ini berlangsung pada Febuari 1964, terdapat suatu lagi rundingan yang dijalankan diantara negara-negara ini yang diadakan pada 2 Mac 1964 walaupun dasar konfrontasi Indonesia masih berjalan ketika itu. Isu-isu utama untuk rundingan kali kedua ini juga masih berkisar tentang kemahuan Malaysia supaya diadakan gencatan senjata yang menyeluruh bagi seluruh wilayah Malaysia dan menuntut Indonesia menarik pulang semua tenteranya di Malaysia.

Seperti yang dijangkakan, respons Indonesia terhadap tuntutan Malaysia masih seperi dahulu apabila mereka masih berkeras supaya isu politik antara kedua negara diselesaikan selebih dahulu kemudian soal pengunduran tentera akan dijalankan seiring dengan selesainya masalah politik ini. Malaysia merasakan tuntutannya supaya tentera Indonesia berundur tidak ada kena mengena dengan soal politik kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan kemerdekaan. Malaysia mahukan tentera Indonesia diundurkan terlebih dahulu sebelum penyelesaian konflik politik diusahakan.

Indonesia akhirnya mencadangkan soal pengunduran tentera dan masalah politik diselesaikan secara berperingkat dan seiring iaitu menyelesaikan soal pengunduran tentera sebayak 20% dan dalam masa yang sama, masalah politik juga diselesaikan sebanyak 20%. Namun Malaysia tidak bersetuju kerana menganggap kemasukan tentera Indonesia sebagai mencabar wilayahnya yang berdaulat. Mereka menuntut Indonesia mengundurkan tenteranya terlebih dahulu tanpa sebarang syarat. Atas cadangan Thailand dan Filipina, akhirnya Malaysia yang diwakili oleh Tun Abdul Razak bersetuju dengan cadangan pengunduran tentera secara berperingkat-peringkat. Malaysia juga bersetuju degan cadangan supaya suatu sidang kemuncak antara ketiga-tiga negara ini dijalankan selepas semua urusan pengunduran tentera Indonesia di Malaysia selesai dijalankan.

Sidang kemuncak yang kononnya akan diadakan selepas semua tentera Indonesia berundur telah diadakan sebelum pengunduran ini berlaku. Sidang ini diadakan di Tokyo pada 21 Jun 1964. Tunku pada asalnya tidak mahu turut serta didalam sidang ini kerana menganggap Indonesia hanya pandai berjanji, tetapi tidak mahu mengotakannya. Tunku hanya bertolak ke Tokyo pada 14 Jun 1964, lewat dua hari daripada rombongan Tun Razak yang tiba di Tokyo pada 12 Jun 1964.

Dalam sidang ini, Malaysia seperti biasa telah mendesak Indonesia mengundurkan tenteranya dari Malaysia. Malaysia telah memberi tempoh selama 4 minggu untuk Indonesia membersihkan tenteranya di Malaysia. Namun Indonesia tetap tidak bersetuju. Presiden Macapagal, Filipina telah mencadangkan diwujudkan Suruhanjaya Damai Afro-Asia yang dianggotai oleh 4 buah negara pendamai bagi menyelesaikan masalah konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia. Namun Suruhanjaya ini juga gagal direalisasikan.

Sidang Kemuncak ini juga gagal untuk menjernihkan hubungan Malaysia dan Indonesia apabila kedua pihak tetap tidak mahu bertoleransi diantara satu dengan yang lain. Pertikaman lidah antara Malaysia dan Indonesia terus berlaku khususnya antara Tunku Abdul Rahman dan Sukarno sehinggalah berlakunya rampasan kuasa di Indonesia yang menjatuhkan Sukarno sebagai Presiden Indonesia pada 1 Oktober 1965 yang juga dikenali sebagai GESTAPU.

Selepas kejatuhan Sukarno, terdapat satu lagi rundingan antara Indonesia dengan Malaysia yang dikenali sebagai Rundingan Bangkok. Rundingan ini diadakan di Bangkok pada 30 Mei hingga 1 Jun 1966 yang merupakan usaha yang sangat memberi impak kepada pemurnian hubungan Malaysia dan Indonesia. Malaysia diwakili oleh Tun Abdul Razak dan Indonesia diwakili oleh Adam Malik.

Dua formula penting telah digariskan didalam rundingan ini bagi membolehkan Malaysia dan Indonesia menamatkan persengketaan yang sudah memasuki usia 3 tahun itu ialah, jika Indonesia ingin melanjutkan perhubungan secara langsung dengan Malaysia, penukaran perwakilannya di Malaysia akan ditangguhkan sehingga Ogos. Dan yang kedua, Malaysia akan memberikan peluang kepada penduduk Sabah dan Sarawak untuk menentukan semula pendirian mereka untuk kekal didalam Malaysia atau tidak melalui pilihanraya yang akan diadakan pada tahun 1967.

Dalam soal ketenteraan pula, Malaysia mahu supaya persengketaan ditamatkan segera bagi membolehkan pegawai awam dan tentera antara Kuala Lumpur dengan Jakarta dilakukan dengan segera. Keputusan utama rundingan ini ialah Indonesia bersetuju untuk memulihkan hubungan antara dua negara ini walaupun pungutan suara di Sabah dan Sarawak masih belum diadakan.

Rundingan di Bangkok ternyata menjadi suatu proses sebenar pendamaian Malaysia dan Indonesia. Adam Malik apabila pulang dari Bangkok menyatakan kegembiraan beliau kerana konflik Indonesia dan Malaysia sudah semakin hampir kepada penamatnya. Namun, beliau menganggap, rundingan di Bangkok hanyalah asas yang mana rundingan seterusnya perlu diadakan lagi. Adam Malik juga menegaskan bahawa, dasar konfrontasi akan hanya ditamatkan apabila perjanjian damai diantara Malaysia dan Indonsia ditandatangani secara rasmi.

Di Malaysia, pada 7 Jun 1966, selepas mesyuarat kabinet diadakan, Tun Razak mengumumkan Malaysia telah bersetuju dengan Perjanjian Damai yang akan ditandangani dengan Indonesia. Namun, maklumat lanjut berkenaan persetujuan itu tidak dapat didedahkan sehingga Indonesia turut menyatakan persetujuan terhadap perkara yang sama. Pihak Indonesia secara rasmi bersetuju dengan Perjanjian Damai yang dirintis di Bangkok pada 30 Julai 1966. Dari hal itu, Indonesia telah mengirim pakarnya untuk menjalankan proses rundingan terakhir dengan Malaysia.

Kemuncak kepada tamatnya konfrontasi ini ialah pada 3 Ogos 1966 apabila Suharto iaitu Presiden baru Indonesia, mengumumkan tamatnya dasar konfrontasi terhadap Malaysia dan pada 11 Ogos 1966, Tun Razak yang mewakili Malaysia dan Adam Malik yang mewakili Indonesia telah menandatangani perjanjian untuk memulihkan hubungan Malaysia dan Indonesia yang tegang semenjak dasar konfrontasi dilancarkan oleh Indonesia terhadap Malaysia pada 1963.

 

0 comments: