Filem Razak Mohaideen

Tiba-tiba teringin untuk menulis berkenaan filem. Tulisan yang tidak kritikal, sekadar menceritakan pengalaman saya menonton filem-filem arahan Prof. Madya Razak Mohaideen. Saya tidak terdidik didalam bidang filem, namun, sebagai anak muda, saya memang suka menonton filem walaupun tidak terlalu kerap. Kenapa memilih untuk berbicara soal filem arahan Prof. Madya Razak Mohaideen? Pertama, beliau antara pengarah dan pengkarya yang produktif mengarahkan filem di Malaysia, filem Malaysia menyimpan banyak naskah filem yang dihasilkan oleh Razak. Kedua, beliau seorang akademik, yang mengkuliahkan pelajar-pelajar beliau di UiTM, dalam erti kata lain, seorang pakar filem. Ketiga? Kerana ‘keunikkan’ filem arahan beliau.

Saya mengenali karya Razak melalui filem Mami Jarum. Saya bersama rakan-rakan ke Alor Setar ketika itu (Tidak salah saya pada musim Hari Raya Aidilfitri). Kawan saya mengajak kami menonton filem tersebut di panggung wayang di Alor Setar. Itulah kali pertama saya menjejak kaki ke panggung. Di daerah Kubang Pasu, panggung wayang telah ditutup kerana Ahli Parlimen ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu bangunan itu berada didalam kawasan parlimen beliau. Pertama kali menonton karya Razak, saya rasa sangat gembira. Menarik betul cerita Mami Jarum itu. Tidak perlulah saya kisahkan tentang Mami Jarum, saya rasa semua orang tahu jalan cerita filem tersebut.

Apabila pulang, saya dimarahi oleh ibu saya kerana menjejakkan kaki ke panggung (Adik saya menjumpai tiket filem itu didalam poket seluar saya). Kena marah pun kenalah, janji saya puas. Bukan senang mahu menonton sebuah karya yang bagi saya sangat memuaskan itu. Apabila cakera padat filem itu sudah berada dipasaran, sekurang-kurangnya lima kali saya menonton filem itu di rumah. Bagus sungguh ceritanya.

Bila terbit Mami Jarum Jr., saya turut menonton, tetapi hanya dirumah sahaja. Filem ini rasanya kurang menarik berbanding yang terdahulu, Mami Jarum. Ada banyak adegan dan idea yang bagi saya sangat mirip dengan Mami Jarum. Hati saya terdetik, “Aahh..nama pun Mami Jarum Jr., mestilah sedikit sebanyak punyai pengaruh Mami Jarum”. Namun saya makin curiga bila menonton Anak Mami The Movie yang terbit lebih awal daripada Mami Jarum dan Mami Jarum Jr. itu. Saya jumpai cakera padat filem itu dirumah sepupu saya. Atas jenama “Prof. Madya Razak Mohaideen”, saya teruja untuk menonton.

Tetapi temanya sama sahaja dengan Mami Jarum dan Mami Jarum Jr. tadi. Latar belakang masyarakat Pulau Pinang yang pelbagai, lawak bodoh yang diulang-ulang konsepnya, tinggal didalam keluarga yang besar dan filem-filem ini akan diakhiri dengan adegan perkahwinan atau majlis bertunangan yang pasti terselit usur-unsur kejutan. Sama sahaja, mungkin jalan cerita sahaja yang sedikit berbeza.

Sudah tiga filem saya menonton filem Razak Mohaideen. Temanya masih sama. Terfikir juga, kenapa beliau buat filem-filem yang lebih kurang sahaja ceritanya? Apa motif dan harapan sebenar beliau? Murah sangatkah kos membikin sebuah filem sehinggakan beliau membuat tiga filem berasingan, tetapi temanya adalah sama? Kenapa Anak Mami The Movie, Mami Jarum dan Mami Jarum Jr. tidak disatukan sahaja? Bukankah lebih jimat? Saya terus juga menonton filem-filem Razak bila berpeluang. Tetapi hanya menonton VCDnya sahaja.

Suatu perkara yang memusykilkan saya, filem-filem Razak selepas era ‘Mami’, asyik menampilkan muka pelakon yang sama. Contohnya, Erra Fazira (Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Hingga Hujung Nyawa, 7 Perhentian dan I Know What You Did Last Raya), Yusri KRU (Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol dan Hingga Hujung Nyawa), Waheeda (I Know What You Did Last Raya, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2 dan Anak Mami Kembali), Apek (Jutawan Fakir, Otai, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2 dan Anak Mami Kembali), dan ramai lagi pelakon-pelakon yang lain yang diulang pakai. Adakah pelakon-pelakon ini berstatus perkerja tetap dan berpencen? atau sekadar strategi untuk menjual sesebuah filem? Apapun alasan Razak, mengulang tayang muka-muka serupa tidak lebih sekadar mengundang kejemuan khalayak. Nyata, ketika ini, saya sudah mula memandang rendah dengan keupayaan Razak, seorang pensyarah dalam bidang perfileman.

Dari minat bertukar kepada benci dengan karya-karya Razak. Kemuncaknya apabila si badut (Saiful Apek) menyakitkan mata dan hati saya dengan lakonan ‘tidak cerdik’ beliau didalam filem Jutawan Fakir, Otai, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2 dan Anak Mami Kembali (sekadar menyebut beberapa judul). Ketika menonton filem-filem Razak untuk kesekian kalinya, perasaan marah saya tidak mampu dibendung lagi. Inikah air tangan seorang Ahli Akademik yang terdidik didalam bidang filem? Apa yang Razak mahukan sebenarnya?duit? rekod pecah panggung? atau beliau memang sengaja mahu mengundang kemarahan penonton?

Dengan karya-karya beliau yang sangat memualkan itu, saya tanpa segan silu lagi menyatakan beliau telah gagal memberi jenama kepada filem Malaysia. Filem Malaysia rasanya tidak akan terangkat martabatnya jika hanya sekadar mampu mengutip wang keuntungan yang besar semata-mata. Banyak lagi perkara yang ingin dinilai oleh khalayak untuk mengatakan filem Malaysia adalah baik, bermutu dan bermaruah. Dan ‘banyak lagi perkara’ itulah yang tidak mampu disajikan Razak. Rasanya kita lebih terkesan dengan filem-filem tempatan seperti Buli, Buli Balik, Sumolah dan Baik Punya Cilok karya Afdlin Shauki, Filem KL Menjerit, Castello, Gangster dan Bilut arahan Bade Hj. Azmi, Filem Sepet, Gubra dan Muhsin karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad dan sebagainya. Yang rata-rata bukanlah pensyarah filem berstatus Profesor Madya seperti Razak Mohaideen. Cuma mereka-mereka ini lebih faham apa maknanya membikin filem. Bukan sekadar membikin duit melalui filem seperti Razak.

 

0 comments: