MARI KITA TAFSIRKAN

Kepada semua rakan-rakan UKM..Pensyarah-pensyarah UKM..Pihak Pentadbiran UKM.. hayati lirik lagu keramat ni..fahami..mungkin kita yang dah bertahun kat UKM ni tak ingat pun lirik ni..So..Ingat..Hafal..Fahami..buat pedoman dan pembakar semangat..UKM dekat dihati..


Varsiti Kita

Lihat Kampusku yang tenang
Damainya alam ciptaan tuhan
Paduan ilmu dan keimanan
Amal dan jerih digabungkan
Lautan ilmu kita harumkan
Sumber ilmuan berkembangan

Inilah Varsiti Kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita

Bangun berbakti membela
Memupuk insan jiwa bertakwa
Memimpin manusia semua
Kenal akan adat unggulnya
Membina negara senantiasa
Maju berilmu dan bahagia

0 comments Links to this post  

SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA

*Dipetik dari Laman Web Rasmi Parti Islam Se-Malaysia

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satupersidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Kesedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan kesedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ darimatlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.

1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan OrganisasiDalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party ofMalaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28

0 comments Links to this post  

PANDANGAN BIRD DAN INNES TERHADAP ORANG MELAYU PADA ABAD 19

Persepsi Isabella Bird dan Emily Innes berkenaan Orang Melayu pada abad 19

Dalam usaha untuk mengkaji persepsi dua orang penulis Barat iaitu Isabella Bird dan juga Emily Innes terhadap Orang Melayu ketika itu , seharusnya kita melihat dahulu latar belakang penulis-penulis ini .

Isabella Bird merupakan seorang wanita yang gemar mengembara . Beliau telah mengembara ke Kanada dan Amerika Syarikat ketika umurnya baru mencecah 22 tahun , dan menghasilkan buku pertama beliau iaitu “ The English Woman in Amerika” pada tahun 1859 . Beliau juga pernah mengembara ke Australia , Jepun , Singapura , China , Vietnam , New Zealand dan kemudiannya ke kepulauan Hawaii.

Isabella Bird telah membuat eskpedisi ke negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong pada bulan Januari dan Februari pada tahun 1879 selama lima minggu . Melalui lawatan inilah beliau telah menghasilkan buku “ The Golden Chersonese And The Way Thither ” yang banyak menceritakan tentang aspek sosial , ekonomi dan politik masyarakat ketika itu .

Emily Innes pula mengarang “ The Chersonese With The Gilding Off ” pada 1883 . Beliau merupakan isteri kepada seorang pembantu Residen Inggeris di Tanah Melayu . Beliau bukanlah seorang yang gemar merantau dan mengembara , sebaliknya terpaksa mengikut suaminya yang dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Tanah Melayu ketika itu .

Emily Innes juga seperti Isabella Bird , menulis setiap pemerhatianya terhadap masyarakat di Tanah Melayu ketika itu yang majoritinya ialah masyarakat Melayu disamping masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India . Bird menulis pengalamanya di Perak , Selangor dan Sungai Ujong manakala Emily lebih memfokuskan penulisanya sekitar kawasan Langat di Selangor .

The Golden Chersonese And The Way Thither dan The Chersonese With The Gilding Off bukan sahaja hampir sama dari segi tajuknya , tetapi ianya juga ditulis oleh dua orang perempuan Eropah yang pernah berada di Tanah Melayu pada era permulaan pertapakan kolonial di Tanah Melayu iaitu disekitar penghujung abad ke - 19 .

Apa yang membezakan buku-buku ini ialah cara penulisan The Chersonese With The Gilding Off karya Emily Innes dilihat lebih santai berbanding The Golden Chersonese And The Way Thither karya Isabella Bird yang lebih berat . Ianya mungkin kerana Isabella Bird lebih berpengalaman menulis kerana pernah juga menulis beberapa buah buku sebelum itu seperti Unbeaten Tracks in Japan pada 1880 dan The English Woman in America pada 1859.

Berlainan dengan Emily , beliau kurang berpengalaman dalam penulisan buku bahkan tidak produktif menghasilkan karya-karya untuk penerbitan . Maka tidak hairanlah jika karya Isabella Bird lebih terkenal berbanding karya Emily Innes .

Dari segi isi kandungan buku-buku ini pula jelaslah kepada kita bahawa mereka membicarakan persepsi mereka terhadap masyarakat di Tanah Melayu dewasa itu . Didalam buku-buku ini mereka menceritakan beberapa aspek kehidupan dalam masyarakat tradisional Melayu dan bukan Melayu seperti sosial , ekonomi , politik dan sebagainya . Sebagai mana penulis-penulis Barat yang lain , mereka juga melihat masyarakat Tanah Melayu dari aspek negatif dan menjelikkan .

Biarpun apa perbezaan dan persamaan karya-karya mereka ini , apa yang lebih penting kepada kita ialah untuk mengetahui dan memahami apakah pandangan mereka terhadap Orang Melayu ketika itu .


PERSEPSI ISABELLA BIRD

ORANG MELAYU PEMALAS DAN TIDAK BEKERJA BERSUNGGUH- SUNGGUH

Isabella Bird menganggap orang Melayu pemalas dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan . Hal ini kerana beliau melihat orang Melayu yang ketika itu menanam padi sawah sebagai sumber rezeki , mengerjakan sawah secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh . Mereka dikatakan suka bersantai dan menghabiskan masa berbual dengan rakan-rakan di kedai kopi .
Menurutnya aktiviti penanaman padi dilakukan secara kasar dan tidak teliti oleh orang Melayu kerana mereka membajak sawah dengan menggunakan tenggala yang berupa tiang atau galah yang panjangnya lapan kaki dengan pencakar menjulur keluar daripada pisau tenggala atau bajak dan batang kayu yang diselit secara serong diatas kerbau . Perihal orang Melayu malas ini turut diakui oleh Ibrahim Munsyidalam tulisanya , tetapi Ibrahim menyatakan bukan semua orang Melayu itu pemalas .

ORANG MELAYU SUKA BERHIBUR

Bird juga melihat orang Melayu sebagai golongan yang sukakan hiburan , mereka suka berkumpul beramai-ramai untuk melihat acara-acara hiburan seperti sabung ayam yang begitu mendapat tempat dihati orang Melayu ketika itu . Bahkan , apabila ada waktu-waktu tertentu , orang Melayu dikatakan akan melagakan kerbau atau harimau juga untuk tujuan berhibur .

Orang Melayu juga suka berteka teki sesama mereka untuk bersuka-suka . Mereka juga gemar bermain dam di kedai-kedai kopi bersama rakan-rakan . Orang Melayu juga dikatakan suka berhibur kerana mempunyai banyak jenis tarian seperti Kuda Kepang , Makyong , Ulik Mayang dan sebagainya yang mana tarian-tarian ini ditarikan dalam majlis-majlis keraian .

ORANG MELAYU PENGOTOR

Isabella Bird juga mempunyai persepsi yang tersendiri terhadap salah satu lagi kegemaran orang Melayu iaitu adat memakan sirih . Beliau beranggapan bahawa orang yang memakan sirih adalah seorang yang pengotor . Hal ini kerana beliau menganggap orang yang memakan sirih seperti mereka mengeluarkan darah dari mulut mereka sendiri . Sirih yang akan menyebabkan gigi seseorang kelihatan berkarat telah dilihat sebagai sesuatu yang amat menggelikan dan kotor oleh Bird.

Hal ini telah di sokong oleh Ibrahim Munsyi yang ketika itu telah melawat bandar Kelang. Beliau telah melihat pejabat yang menyimpan surat cukai timah tersebut tidak teratur kedudukannya dan kotor keadaannya di sebabkan penuh dengan ludahan sirih .

Orang Melayu yang bersawah dan membajak sawah yang penuh lumpur dengan menggunakan kerbau juga dilihat sebagai suatu sifat yang menjijikkan.

ORANG MELAYU TIDAK BERPENDIDIKAN

Orang Melayu dilihat oleh Isabella Bird sebagai tidak berpendidikan dan mundur . Orang Melayu digambarkan sebagai tidak tahu apa-apa berkenaan astronomi dan geografi. Bird menyatakan bahawa orang Melayu hanya meniru sistem bulan dan hari bangsa Arab dan tiada sistem hari dan bulan sendiri .

Orang Melayu juga percaya bahawa gerhana bulan dan matahari berlaku apabila matahari dan bulan dilindung oleh ular atau naga dan mereka menangis apabila fenomena ini berlaku . Orang Melayu juga dikatakan menganggap dalam sistem suria , matahari yang mengelilingi bumi , bukan sebaliknya dan menganggap bumi ini berbentuk bujur . Orang Melayu juga dianggap tidak berpendidikan kerana cerdik pandai Melayu tidak tahu menterjemahkan kitab-kitab Arab kedalam bahasa Melayu .

ORANG MELAYU TEBAL DENGAN SIKAP CEMBURU

Isabella Bird menilai perbuatan wanita-wanita Melayu yang bertudung untuk keluar rumah ialah kerana paksaan suami mereka yang terlalu cemburu . Beliau beranggapan bahawa lelaki-lelaki Melayu cemburu jika kecantikan isteri mereka dilihat oleh orang luar .

Bird juga menganggap pakaian wanita Melayu yang menutup tubuh badan dari buku lali hingga ke kerongkong adalah kerana cemburu si suami . Kebiasaan wanita Melayu yang gemar berada dirumah dan melakukan kerja-kerja rumah juga dianggap hasil sikap cemburu yang membuta tuli oleh suami .

ORANG MELAYU HIDUP DALAM ATURAN TERTENTU

Walaupun banyak memberi persepsi buruk tentang orang Melayu , ada juga pandangan Bird yang seakan memuji orang Melayu . Bird mengatakan bahawa orang Melayu telah hidup dalam dalam aturan tertentu . Beliau mendedahkan , ketika itu , orang Melayu sudah mempunyai sistem undang-undang seperti undang-undang tanah dan laut. Undang-undang ini dikatakan berteraskan syariah Islam .

Beliau turut menyatakan orang Melayu sangat patuh kepada ajaran Islam yakni mereka rajin bersolat , berdoa , mengkhatankan anak-anak mereka , menyerahkan lembu dan kerbau untuk dikorbankan dan sebagainya . Ini semua menunjukkan kepercayaan dan kepatuhan orang Melayu dalam beragama .

Ibrahim Munsyi turut mengakui tentang kepatuhan orang Melayu terhadap ajaran Islam . Orang Melayu setidak-tidaknya akan sedaya upaya untuk memastikan anak-anak mereka tahu membaca Al-Quran dan menghayati ajaran agama Islam.

PERSEPSI EMILY INNES

LELAKI MELAYU PEMALAS

Emily Innes pula dalam pemerhatianya menganggap lelaki Melayu sebagai pemalas . Ini kerana beliau melihat wanita Melayu ketika itu berkerja lebih kuat berbanding dengan kaum lelaki . Emily menyatakan , wanita Melayu melakukan kerja-kerja berat seperti berkebun dan bersawah .

Apabila wanita-wanita ini pulang ke rumah , mereka meneruskan kerja-kerja rumah seperti memasak dan menganyam bahan-bahan untuk dibuat ‘sarong’. Kaum lelaki pula dilihat gemar menghabiskan masa untuk tidur ketika kaum wanita sedang berkerja .

Raja-raja Melayu juga digambarkan sebagai pemalas kerana setiap urusan mengenai dirinya perlu diuruskan dan diselesaikan oleh orang lain yakni pembantu-pembantunya . Raja juga gemar meminta-minta kepada hamba rakyat jika berkehendakkan sesuatu .

ORANG MELAYU BANYAK BERCAKAP

Emily mengisahkan tentang perihal orang Melayu yang banyak bercakap bahkan suka bercakap dengan nada yang kuat. Orang Melayu digambarkan bercakap dengan menggunakan dialek yang berbeza dan sukar difahami , suka bercakap kosong , bahasanya kedengaran kasar , dan berterus terang .

Orang Melayu juga digambarkan sebagai suka menokok tambah sesuatu cerita sehinggakan cerita yang asal sudah diselewengkan faktanya .

Orang Melayu juga suka bercakap tentang sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti samada ianya benar ataupun tidak .

ORANG MELAYU BODOH

Emily menganggap orang Melayu sebagai bodoh kerana pada suatu hari , ketika beliau sedang menulis , ramai orang Melayu yang datang mengerumuninya untuk melihat beliau menulis . Disamping melihat , orang Melayu juga melahirkan rasa kagum dengan kebolehan Emily menulis. Ini dianggap oleh Emily sebagai bodoh kerana ia menggambarkan tahap intelektual Melayu yang masih rendah ketika itu .

Orang Melayu juga dianggap bodoh kerana sanggup menurut apa sahaja arahan dari orang atasan . Sebagai contoh , suatu hari , Tunku Dia Udin mengarahkan seorang pengikutnya pergi mencabut jagung yang ditanam dilaman rumah seorang rakyat . Pengikut Tunku Dia Udin pun pergilah mencabut jagung itu tanpa banyak bantahan walaupun tahu ianya adalah suatu kezaliman kepada tuan jagung itu . Apa yang lebih mengejutkan ialah , apabila tuan punya jagung itu melihat jagungnya dicuri oleh pengikut Tunku Dia Udin, dia terus datang mengadap Tunku Dia Udin untuk menyembah dan memohon ampun .

Orang Melayu juga dikatakan bodoh kerana memakai kain sarong . Emily melihat pakaian itu tidak lebih sekadar untuk menyusahkan dan membataskan pergerakan mereka . Bahkan Emily mengatakan antara sebab yang menyebabkan lelaki Melayu malas berkerja ialah kerana pakaian sarong mereka itu yang tidak praktikal untuk kerja-kerja lasak .

Emily juga mengkisahkan satu lagi kebodohan orang Melayu apabila berlaku kematian , orang Melayu tidak melaporkan kematian itu kepada pihak polis , apabila disuruh melaporkan kematian itu kepada pihak polis , orang Melayu bertanya tentang apakah yang dimaksudkan dengan polis.

ORANG MELAYU SUKA MENGAMBIL KESEMPATAN

Emily menyatakan tentang tabiat orang Melayu yang suka mengambil kesempatan dengan memerihalkan tentang Datu Dagang yang mempunyai tiga orang isteri . Apa yang menarik ialah , ketiga-tiga isteri Datu Dagang ini ialah adik beradik .

Datu Dagang telah meminjamkan wangnya kepada abangnya , tetapi abangnya tidak dapat membayar kembali hutang Datu Dagang . Maka sebagai penebusnya , Datu Dagang mengambil anak-anak abangnya itu seorang demi seorang . Selepas berkahwin dengan tiga orang anak abangnya itu yang juga ank saudaranya sendiri , hutang abangnya dianggap selesai .

Kisah ini telah menyebabkan Emily menganggap orang Melayu suka mengambil kesempatan diatas kesusahan dan kesempitan orang lain .

ORANG MELAYU PENGOTOR

Emily juga seperti Isabella Bird , menganggap orang Melayu sebagai pengotor . Ini kerana Emily melihat suatu kejadian dimana keluarga Melayu hanya membiarkan mayat salah seorang hli keluarga mereka membusuk tanpa dikebumikan kerana kesempitan hidup . Hidup dalam kebusukan ini dianggap oleh Emily sebagai kotor .

Emily juga menganggap tabiat makan orang Melayu yang tidak menggunakan sudu dan garfu sebaliknya menyuapkan makanan ke mulut dengan menggunakan tangan adalah suatu yang menjijikkan dan kotor .

Tabiat orang Melayu yang suka minum air sungai juga dianggap kotor kerana air itu tidak dapat dipastikan tahap kebersihannya terlebih dahulu . Akibat tabiat ini , ramai yang menemui ajal kerana diserang penyakit Cholera .

ORANG MELAYU SUKA MEMINTA-MINTA

Emily menceritakan tentang wanita-wanita Melayu yang meminta-minta barangannya seperti pakaian , jam , kertas , pin dan pelbagai lagi barangan miliknya . Emily juga menceritakan tentang pengembara-pengembara Melayu yang mengembara tanpa membawa sebarang bekalan , sebaliknya , apabila terasa lapar atau ingin bermalam , pengembara-pengembara Melayu ini akan berhenti di mana-mana kampung yang ada untuk meminta sedikit makanan dan tumpang bermalam .

Emily juga menceritakan tentang perihal raja-raja Melayu yang suka meminta bermacam-macam barang daripada hamba rakyatnya . Raja-raja kadangkala meminta barangan yang tidak logik dan tidak tercapai oleh akal daripada rakyatnya .

PENILAIAN TERHADAP PERSEPSI ISABELLA BIRD DAN EMILY INNES

Tidak dapat dinafikan sesetengah persepsi buruk mereka terhadap orang Melayu memang menjadi budaya dalam masyarakat Melayu . Perihal orang Melayu yang pengotor misalnya, diakui sendiri oleh Ibrahim Munsyi dalam karyanya,Ibrahim menyatakan Pejabat Cukai di Kelang kotor kerana dipenuhi air ludahan sirih . Ini menunjukkan persepsi Isabella Bird dan Emily Innes tidaklah jauh tersilap jika dikaitkan dengan kes sirih , tidak mengebumikan mayat , meminum air sungai yang kotor dan sebagainya . Tetapi dari aspek mengerjakan sawah dengan keadaan berlumpur dan makan dengan menggunakan tangan , ianya bukanlah sesuatu yang menunjukkan sikap pengotor orang Melayu melainkan kesalahan Isabella Bird dan Emily Innes sendiri yang tidak menyelidiki dahulu budaya dan adat Melayu .

Berkenaan dengan kenyataan bahawa orang Melayu pemalas juga ada diceritakan oleh penulis lain seperti Frank Swettenham yang menyatakan bahawa orang Melayu banyak membazir wang dan masa , orang Melayu juga dikatakan suka meminjam tetapi susah untuk memulangkan sesuatu yang dipinjam . Itu kenyataan warga Barat yang kaya raya dan tidak begitu memahami kehidupan orang Melayu . Bagi orang Melayu seperti Mahathir Mohammad , Beliau membidas kenyataan Isabella , Emily dan Frank sendiri dengan mengatakan bahawa sikap malas tidak wujud dalam diri semua orang Melayu , dan malas bukanlah hak milik mutlak orang Melayu semata-mata , tetapi malas itu bersifat universal termasuk juga ada orang Barat yang malas
.
Mengenai kepatuhan orang Melayu kepada aturan , ianya memang diakui sendiri oleh sarjana tempatan seperti Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah membawa tamadun kepada orang Melayu. Justeru tidak hairanlah jika orang Melayu begitu patuh terhadap ajaran Islam dan tidak mudah menukar agama dan pegangan mereka.

Berkenaan dakwaan orang Melayu sukakan hiburan , ianya tidak perlu dipertikaikan kerana setiap manusia sukakan hiburan . Cuma apa yang meralatkan ialah hiburan orang Melayu ketika itu agak kejam kerana mengeksploitasi binatang sebagai alat untuk berhibur .

Berkenaan dakwaan Isabella Bird dan Emily Innes bahawa orang Melayu tidak berpendidikan , dari satu segi ianya tidak dapat dinafikan , memang taraf pendidikan orang Melayu ketika itu masih berada di tahap rendah . Mereka memang tidak mengetahui tentang astronomi dan geografi . Tetapi dari satu segi yang lain , orang Melayu boleh dikira berpendidikan kerana sudah tahu berkebun , menganyam , menternak dan bersawah . Dalam bidang keagamaan pun mereka sudah dikira sebagai pandai kerana mengetahui sedikit sebanyak tentang undang-undang dan peraturan Islam . Mereka juga boleh membaca Al-Quran bahkan kebanyakan orang Melayu ketika itu sudah bercita-cita untuk mengerjakan haji di Makkah .

Isabella juga menyatakan bahawa lelaki Melayu terlalu cemburu kerana isteri-isteri mereka perlu memakai tudung jika ingin keluar . Wanita Melayu kononnya juga memakai pakaian yang sopan kerana perasaan cemburu suami yang tidak mahu kecantikkan isteri dipertontonkan kepada khalayak . Persepsi ini terang-terangan silap kerana perlakuan wanita-wanita Melayu itu bukan kerana perasaan cemburu si suami sebaliknya kerana tuntutan Islam itu sendiri yang mewajibkan umatnya menutup aurat .

Perihal kononnya orang Melayu banyak bercakap . Ianya adalah kerana sifat sopan santun dan ramah tamah orang Melayu yang memang terserlah . Sikap sopan santun ini dirakamkan oleh Mahathir Mohammad didalam Dilema Melayu . Namun kerana kurang memahami tabiat dan jiwa sebenar orang Melayu , ramai penulis Barat memberi pesepsi buruk terhadap tabiat ‘ringan mulut’ orang Melayu ini .

Mengenai sikap suka mengambil kesempatan dan meminta-minta dalam kalangan orang Melayu , persepsi Isabella Bird dan Emily Innes mungkin sesuatu yang benar , Filem-filem P.Ramlee juga banyak mengkisahkan perihal sikap orang Melayu yang satu ini .

Jika kita melihat keseluruhan persepsi Isabella Bird dan juga Emily Innes , memanglah mereka menceritakan tentang latar belakang sosial , ekonomi dan politik Orang Melayu tradisional Tanah Melayu ketika itu . Tetapi ianya hanyalah sekadar pandangan longgar tanpa ada penyelidikan yang benar-benar serius untuk menulis soal masyarakat tradisi ini dengan sikap dan etika penyelidik yang objektif .

Dengan hanya sekadar tinggal di Tanah Melayu selama lima minggu dapatlah kita menilai sejauh mana ketelitian Isabella Bird terhadap masyarakat Tanah Melayu. Kita tidak akan dapat menilai seseorang apatah lagi suatu struktur sosial dalam masa sesingkat itu . Begitu juga dengan Emily Innes, keterpaksaan beliau mengikut suaminya bertugas di Tanah Melayu , hidup dalam kalangan masyarakat dan budaya Melayu yang tidak diingininya pasti menyebabkan sejak awal-awal lagi persepsi buruk ditanam terhadap masyarakat yang tidak disukainya itu .

KESIMPULAN

Rumusannya , persepsi Isabella Bird dan Emily Innes bukan semuanya salah walaupun terdapat kekurangan dan ketempangan metodologi dalam mengkaji hal-hal berkaitan Orang Melayu ketika itu . Sesetengah perkara yang mereka catatkan adakalanya benar-benar berlaku . Walau bagaimanapun , untuk mengatakan keseluruhan persepsi mereka itu adalah benar , ianya sudah pastilah tidak berpatutan kerana tulisan mereka sekadar catatan pengalaman bersama Orang Melayu dalam jangka masa yang singkat dan tidak lebih sekadar pandangan pertama mereka terhadap Orang Melayu ketika itu .

Kelonggaran hujah didalam buku The Golden Chersonese And The Way Thither dan The Chersonese With The Gilding Off dapat dijawab oleh penulis-penulis yang lebih rapat dengan dunia Melayu dengan bukti-bukti dan hujah-hujah yang lebih kuat dan berautoriti . Walau bagaimanapun , perkara yang benar dalam tulisan Isabella Bird dan Emily Innes tidaklah dinafikan secara membuta tuli oleh penulis tempatan , sebaliknya ada yang diakui dan dipertimbangkan secara teliti dalam konsep budaya , sejarah dan agama .

Walaupun karya-karya mereka ini dilihat banyak mengkritik sistem sosial dan ekonomi Orang Melayu, kita seharusnya mengambil pendapat-pendapat ini sebagai satu kritikan yang membina daripada orang asing yang lebih maju ketika itu yang melihat telatah dan perangai masyarakat kita suatu ketika dahulu sebagai suatu rujukan yang berguna .

Dengan adanya karya-karya sebegini, sedikit sebanyak kita dapat mengetahui berkenaan sejarah sosio-ekonomi masyarakat Melayu dalam penghujung abad ke-19 sekaligus membuat perbandingan apakah kita masih berada dalam kelompok yang dinyatakan di dalam buku The Chersonese With The Gilding Off karya Emily Innes dan The Golden Chersonese And The Way Thither karya Isabella Bird itu ataupun telah berlaku anjakan paradigma sama ada dari segi zahiriah atau batiniah dalam masyarakat Malaysia hari ini . Adakah Orang Melayu masih seperti apa yang digambarkan oleh Isabella Bird dan Emily Innes dalam karya mereka yang sudah melebihi seratus tahun itu?



BIBLIOGRAFI

Andaya,B.W. 1983.Sejarah Melayu,Petaling Jaya,Macmillan Publisher Sdn. Bhd.
Bird, I. 1883.The Golden Chersonese And The Way Thither,New York, OUP ,Diulang Cetak Kuala Lumpur ,(1967).
Innes, E . 1885.The Chersonese with the Gilding Off,Jilid 2,London .
M.A. Fawzi Basri. 1986. Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak,Kuala Lumpur, United Selangor.
Mahathir Mohammad. 1982.Dilema Melayu ,Kuala Lumpur,Federal Publications.
Mohd. Fadzil Othman. 1980. Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi,Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsul Amri Baharuddin,2007,Modul Hubungan Etnik,Shah Alam,Penerbit UiTM.
Syed Muhd. Naquib Al-Attas. 1972 ,Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,Kuala Lumpur,UKM.

0 comments Links to this post  

SUMBER BUKAN TULISAN DALAM METODOLOGI PENYELIDIKAN SEJARAH

Sumber bukan tulisan didalam metodologi penyelidikan sejarah

Dalam usaha untuk menganalisa kegunaan dan keterbatasan penggunaan sumber-sumber yang tidak bertulis , kita seharusnya mengetahui dahulu takrif sumber . Sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan . Sumber berbeza dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber boleh dirujuk semula apabila diperlukan . Sumber juga dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib , perpustakaan , muzium , istana dan sebagainya dan boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dalam semua bidang keilmuan.

Sumber dari segi sejarah pula , bermaksud punca , dokumen atau rekod . Sumber sejarah juga diertikan sebagai bahan bertulis dan bercetak . Namun ia dianggap sebagai pendapat yang sempit kerana masih banyak lagi sumber-sumber lain yang tidak dalam bentuk bertulis .

Sumber tidak bertulis ini adakalanya dianggap sebagai sumber utama atau primer apabila ia belum diolah dan berkeadaan asli seperti fahaman Arthur Marwick yang mungkin terdiri daripada sumber bertulis atau tidak bertulis , Gottschalk pula berpendapat sumber primer itu ialah apabila adanya seseorang yang mengalami sendiri sesuatu peristiwa itu yang mungkin boleh diertikan sebagai sumber lisan . Apapun tafsiran mereka , jelaslah disini bahawa samada pendapat Marwick atau Gottschalk betul atau tidak , mereka mengakui sumber bukan bertulis mempunyai peranan dan wibawa tersendiri dalam usaha menghasilkan sesebuah penulisan .
Lazimnya terdapat tiga kategori besar didalam sumber tidak bertulis iaitu sumber lisan , sumber multimedia dan sumber artifak . Kita akan mengkaji apakah kelebihan dan kekurangan sumber-sumber jenis ini jika dibandingkan dengan sumber-sumber yang bertulis dan antara sumber-sumber tidak bertulis itu sendiri.

Sumber lisan ialah suatu bentuk sumber yang sudah lama wujud . Sumber lisan sudah wujud semenjak pemikiran dan kebudayaan manusia mulai berkembang . Sumber lisan juga wujud seiring dengan perkembangan bahasa dan pertuturan manusia yang masih belum tahu menulis .

Sumber lisan ialah suatu bentuk pertuturan dan perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa . Sumber lisan biasanya tidak dirakam oleh si pencerita , sebaliknya hanya bergantung kepada ingatan dan pemahamannya sahaja . Apabila ada seseorang penyelidik datang membuat temuramah , temubual dan sebagainya barulah perucapan itu dirakamkan dan direkodkan .

Sumber lisan ini boleh sahaja terdiri dalam dua kategori sumber , samada sumber utama atau primer dan sumber kedua atau sekunder . Sumber lisan berada dalam kategori primer apabila seseorang yang dijadikan rujukan itu menceritakan pengalaman dan pandangan sebenar sesuatu peristiwa yang mana dia turut ada dan terlibat dalam peristiwa itu . Jika pencerita hanya menceritakan kepada khalayak , ia adalah sumber lisan tetapi jika pencerita menulis dan merakamnya , ia sudah berubah bentuk menjadi sumber bertulis dan sumber multimedia .

Sumber lisan dalam kategori sumber kedua pula ialah apabila terdapat penceritaan daripada orang yang tidak mengalami sendiri peristiwa itu , sebaliknya hanya menceritakan apa yang didengarnya dari orang lain .
Sumber jenis ini juga berkait rapat namun berbeza dengan konsep tradisi lisan yakni sesuatu warisan yang disampaikan secara lisan secara turun temurun dan sengaja tidak direkodkan walaupun mereka tahu membaca dan menulis .

Sumber Multimedia pula ialah suatu bentuk sumber hasil kemodenan teknologi dan berada ditengah-tengah sumber lisan dan artifak . Malah , adakalanya dalam bentuk sumber bertulis . Jika sumber lisan ialah sumber yang dipertuturkan oleh si pencerita kepada seseorang secara langsung dan berhadapan . Sumber multimedia pula wujud sekiranya percakapan itu tadi dirakamkan melalui pita rakaman , video dan lain-lain alat perakam .

Sumber asal akan berubah apabila ianya sudah dirakam kerana bentuk dan kaedah memperolehinya juga telah berubah . Jika sumber lisan memerlukan kita berjumpa sendiri dengan seseorang untuk menemuramah , sumber multimedia memadai jika kita mencari rakaman sesuatu temuramah dan merujuknya menggunakan alat-alat bantuan seperti pemain video .

Sumber artifak juga boleh menjadi sumber multimedia apabila sumber-sumber dalam bentuk asal seperti keris lama , peta , manik-manik dan sebagainya dirakamkan melalui teknik fotografi , video , dan sebagainya .

Sumber artifak itu tidak dirujuk secara berdepan dan nyata , sebaliknya hanya dilihat melalui gambar-gambar dan video-video yang dirakamkan . Ianya juga sudah berubah bentuk , iaitu daripada sumber yang nyata , menjadi sumber multimedia iaitu sebagai salah satu ilmu bantu dalam proses pengkajian sejarah .

Sumber artifak juga dinamakan sebagai sumber visual , sumber berbentuk dan sumber arkeologi . Sumber artifak ini ialah suatu bentuk sumber yang biasanya jauh daripada zaman sejarah dan selalunya sumber-sumber sebegini mengambarkan kebudayaan dan cara hidup zaman pra sejarah yang mana pada zaman pra sejarah ini langsung tiada sumber mentah yang bertulis.

Namun sumber artifak tidak semestinya ialah sumber dari zaman yang terlalu tua semata-mata . Setiap sumber yang dapat dilihat , disentuh , dan bersifat nyata lazimnya adalah sumber artifak . Cuma dalam konteks kajian sejarah , sumber artifak ini biasanya memang sudah berusia dan paling tua jika hendak dibandingkan dengan sumber bertulis , lisan dan multimedia .

Pengkaji-pengkaji yang mengkaji sumber-sumber sebegini lazimnya digelar ahli arkeologi . Sumber-sumber artifak ini biasanya terdiri daripada tinggalan-tinggalan objek masa lampau seperti senjata , barangan kesenian seperti tembikar , pakaian seperti tekstil-tekstil , patung-patung , batu nisan , bangunan dan pelbagai objek lagi . Bahkan , sumber artifak atau arkeologi ini juga boleh terdiri daripada rangka badan manusia dan haiwan , sisa-sisa makanan dan sebagainya .

Sumber artifak ini dianggap sebagai sumber primer yakni sumber mentah yang belum diolah dan diinterpretasi oleh mana-mana pengkaji . Dengan sifatnya yang nyata dan dapat diuji secara fizikal , sumber sebegini dianggap sebagai suatu bentuk sumber yang kuat dan jelas .

Sumber lisan berguna dan memainkan peranan penting kepada golongan yang tidak dibenarkan merekod dan menulis sesuatu berkaitan dengan adat dan warisan mereka . Hal ini juga lazimya dipanggil sebagai tradisi lisan iaitu sesuatu perkara itu memang sengaja diperturunkan dari suatu generasi ke generasi yang lain melalui kaedah lisan dan tidak direkodkan walaupun mereka tahu menulis dan membaca .

Ianya mungkin untuk memelihara kerahsiaan sesuatu warisan dan mengelakkannya dari diketahui oleh orang lain jika ianya direkodkan . Jika inilah situasinya , jelas sekali terlihat kepentingan dan kegunaan sumber lisan sebagai penerus tradisi dan warisan . Dalam tradisi lisan ini , sumber lisan dilihat sebagai sumber yang harus diterima bulat-bulat dan dipercayai kesahihannya kerana ianya adalah suatu sumber yang mutlak dan tidak dapat dipertikaikan lagi melalui kritikan sumber baik dari segi eksternal mahupun internal .

Sebagai suatu contoh , suku kaum Narum di Sarawak yang mengambil sumber lisan sebagai sumber mutlak dalam meneruskan tradisi lisan kaum mereka tanpa adanya sumber-sumber lain untuk dibandingkan . Mereka mempelajari adat dan warisan keturunan semata mata daripada penceritaan orang-orang tua melalui tradisi lisan yang diamalkan itu . Mereka menerima ajaran dari oran-orang tua mereka tanpa banyak persoalan dan pertimbangan . Dalam situasi sebegini , jelas terlihat akan kepentingan sumber lisan yakni satu-satunya sumber yang ada untuk mereka memahami dan mewarisi budaya kaum mereka yang tidak boleh digantikan dengan sumber bertulis .

Sumber lisan juga berperanan sebagai suatu kaedah untuk pengkaji dan pembaca sejarah menilai sejarah dengan lebih mendalam . Kepentinganya terlihat apabila kita membaca sesuatu karya sejarah dan merasakan bahawa seolah-olah terdapat sesuatu fakta yang cuba di sembunyikan atau merasakan karya penulis itu kurang lengkap . Jika tiada karya-karya lain untuk dirujuk dan dipertimbangkan , maka kita boleh merujuk kepada seseorang yang arif dalam peristiwa tersebut tetapi tidak menulis berkenaan peristiwa itu . Pendapat dan penceritaan daripada pencerita itu , sudah menjadi sumber lisan yang pasti akan membantu kita memahami dan mendapat gambaran sejarah dari sudut yang berbeza .

Dengan merujuk kepada sumber lisan primer juga , mungkin kita akan dapat mengetahui peristiwa-peristiwa yang tidak atau belum diceritakan dalam mana-mana karya sejarah .
Sumber lisan juga secara tidak langsung dapat mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dimuatkan didalam buku dan dapat menampung kekurangan sumber-sumber lain dalam sesuatu proses pensejarahan .

Kita perlu akur , bukan semua orang yang mengalami sesuatu peristiwa bersejarah , menulis pengalaman mereka . Maka disini dapat dilihat akan berkuranglah sumber bertulis berkenaan sesuatu perkara . Jika kita merujuk sumber lisan yakni mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu perkara , maka sedikit sebanyak kekurangan itu dapat ditampung.

Kita juga perlu tahu ramai daripada penulis sejarah sesuatu peristiwa , tidak pun berada ditempat dan ketika peristiwa itu berlaku . Justeru , penulis yang tidak mengalami sendiri peristiwa sejarah itu mungkin tidak mendapat keseluruhan fakta dan kebenaran sesuatu peristiwa itu . Maka disinilah kita sebagai pengkaji atau pembaca dapat merujuk sumber lisan untuk mengesahkan sesuatu pensejarahan itu .

Kegunaan utama sumber multimedia ialah sebagai satu alternatif untuk para pengkaji mendapatkan sumber-sumber sukar diperolehi . Sebagai contoh , untuk menemubual seseorang tokoh penting yang sudah meninggal dunia misalnya , sudah pastinya ia suatu yang mustahil , tetapi penyelidikan perlu diteruskan dan tiada pula sumber yang bertulis , maka kita dapat merujuk kepada rakaman yang mungkin pernah dibuat berdasarkan temubual dengan tokoh yang telah meninggal dunia itu .

Sebagai contoh , dengan adanya sumber multimedia , kita dapat mengkaji beberapa aspek daripada sejarah kemerdekaan Malaysia melalui rakaman temuramah dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra ketika hayatnya . Temuramah itu tidak pernah diterbitkan samada secara bertulis atau dalam lain-lain bentuk . Disinilah dapat kita lihat kegunaan dan kepentingan sumber multimedia dalam membantu memudahkan sesebuah penyelidikan .

Selain itu , sumber multimedia juga dapat membantu menjimatkan masa dan kos kajian . Sebagai contoh , jika kita ingin mengkaji tentang bentuk-bentuk tinggalan arkeologi di Padang Lawas di Indonesia , tidak semestinya kita perlu ke Padang Lawas untuk melihat bentuk-bentuk tinggalan arkeologi di situ , kita boleh sahaja melihat gambar-gambar yang sudah dirakamkan oleh penyelidik terdahulu . Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu memudahkan kajian yang kita lakukan .

Sumber multimedia juga berperana penting apabila misalnya , kita ingin merujuk bagaimanakah rupa masyarakat Orang Asli pada abad ke-19 , membaca imaginasi penulis dalam tulisannya iaitu sumber bertulis semata-mata pasti akan menyebabkan kita sukar untuk mendapat gambaran yang sekurang-kurangnya hampir tepat . Tetapi apabila kita merujuk sumber multimedia dalam bentuk gambar-gambar Orang Asli yang dimuatkan dalam buku Isabella Bird misalnya , pemahaman dan penelitian kita akan lebih menyeluruh dan tepat .

Peristiwa istiadat kemerdekaan misalnya juga , dapat kita melihat bagaimana ramainya rakyat yang memenuhi Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 itu . Kita juga dapat melihat bagaimana pakaian kerajaan yang dipakai oleh Tunku Abdul Rahman selaku ketua menteri yang dikatakan baru direka cipta . Kita juga dapat melihat bagaimana gelagat Raja-Raja Melayu apabila berhadapan dengan wakil Queen Elizabeth pada istiadat itu . Gambaran-gambaran sebegini tentulah sukar untuk dihayati jika kita sekadar merujuk sumber-sumber bertulis semata-mata tanpa melihat sumber-sumber multimedia .

Disinilah dapat kita lihat kepentingan dan kegunaan sumber multimedia dalam membantu kita untuk mendapat gambaran yang yang lebih jelas dan menyeluruh dalam menjalankan penyelidikan sejarah yang baik .

Jika kita merujuk terus kepada sumber artifak ataupun sumber berbentuk , kita akan dapat menilai sendiri sejauh mana kekuatan dan kelemahan sesuatu benda itu . Kita tidak akan menghadapi kemungkinan tertipu dengan pandangan mata kasar dan tulisan orang lain yang menggambarkan sesuatu dengan cara yang silap .

Sebagai contoh , jika ada penulis yang menulis dan mengatakan bahawa kulit Gendang Ibu dan Anak yang digunakan oleh pasukan Nobat Diraja Kedah adalah diperbuat daripada kulit wanita mati bersalin , kita yang dapat melihat sendiri Gendang Ibu dan Gendang Anak itu mungkin dapat mempertikaikan dan memperbetulkan kenyataan penulis itu apabila kita menilai sendiri adakah benar ianya diperbuat daripada kulit wanita mati bersalin ataupun tidak .

Melalui sumber artifak ini , kita dapat melihat kekuatan dan kewibawaanya dalam mengesahkan sesuatu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengkaji lain .

Sumber artifak bersifat nyata.Ianya boleh digalicari , diukur dan sebagainya . Bahasa mudahnya , dengan sumber artifak , kita dapat menyentuh dan melihat sesuatu dari pelbagai sudut dan keadaan .

Ini membantu kita melihat sesuatu yang mungkin kita tidak dapat perhatikan jika merujuk sumber-sumber bertulis semata-mata . Lebih banyak hipotesis-hipotesis dapat dibuat apabila kita berhadapan sendiri dengan sumber tersebut . Pertimbangan untuk membuat kenyataan yang lebih tepat adalah lebih banyak . Inilah kekuatan sumber artifak yang harus kita akui.

Apabila kita hanya merujuk sumber bertulis tanpa melihat sumber-sumber artifak untuk semakan dan kritikan, tidak mustahil kita akan terikut-ikut dengan pendapat orang lain . Bukanlah maksudnya untuk kita membuang terus semua rujukan bertulis , tetapi jika itu sahaja sumber rujukan kita , tidak mustahil kita akan mempercayai dan mengimani sesuatu yang salah .

Sebagai contoh , ada seorang pengkaji arkeologi didalam blognya menyatakan salah satu candi di Lembah Bujang itu sebenarnya adalah Masjid . Ini kerana katanya , monumen itu lengkap dengan mihrab yang mengadap kiblat . Baginya monumen itu adalah bukti baru yang menunjukkan kedatangan Islam berlaku lebih awal sebelum penemuan Batu Bersurat di Terengganu lagi .

Namun kenyataan itu dinafikan oleh seorang ahli arkeologi dari Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA) , Universiti Kebangsaan Malaysia , Dr. Asyaari Muhammad , yang pernah membuat penyelidikan di tapak itu . Beliau menyatakan bahawa candi itu tetap candi yang sebenarnya dan bukan Masjid kerana disekeliling tempat yang dikatakan Masjid itu penuh dengan arca-arca dan candi-candi yang sezaman dengan monumen yang dikatakan Masjid itu . Adalah mustahil ditengah-tengah kawasan candi Hindu dan Buddha yang begitu banyak , terbinanya sebuah Masjid didalam period masa yang sama .
Disini kita dapat melihat proses kritikan sumber dengan merujuk sumber artifak nyata dapat menghalang kita terikut-ikut dengan ghairah berkenaan apa sahaja hasil tulisan pengkaji terdahulu . Kita dapat menyemak dan membuat penilaian sendiri melalui sumber artifak .

Sumber lisan walaupun tidak dapat dinafikan muncul sebagai antara sumber yang terpenting , namun kaedahnya yang merujuk kepada ucapan seseorang itu sangat diragui ketulinan dan kebenarannya . Sumber lisan boleh sahaja menjadi suatu putar belit , penipuan , propaganda , gambaran sewenangnya untuk sesuatu kepentingan dan refleksi imaginatif penutur lisan itu sahaja .

Dengan tiadanya dokumen dan bukti lain , seseorang yang ditemuramah itu boleh sahaja memesongkan kenyataan dan fakta dengan pelbagai tokok tambah dan penipuan untuk menyembunyikan sesuatu hakikat sejarah . Akhirnya sesuatu fakta sejarah itu terlindung dengan sikap penutur lisan yang bias , subjektif dan tidak amanah .

Sumber lisan juga dianggap tidak kukuh kerana kemampuan memori otak manusia sangat terbatas . Sumber lisan bergantung sepenuhnya kepada ingatan si penutur . Jika seseorang penutur itu terlupa berkenaan sesuatu perkara , maka hal itu tidaklah dapat kita nilaikan . Ianya jelas merupakan suatu ketempangan dalam penyelidikan kita .

Masalah lupa ini mungkin akan lebih menyusahkan ketika suatu informasi disampaikan ke seseorang, lalu orang itu menyampaikan lagi pada orang lain , maka pasti ada sesuatu yang berkurang atau bertambah , Akhirnya sesuatu hakikat sejarah yang diterima sudah tidak tepat dan secara tidak langsung sudah diselewengkan kebenarannya .
Sumber lisan itu sememangnya lemah dan sukar untuk dibuat pernilaian . Maka hal untuk memastikan sumber itu benar-benar objektif dan benar juga adalah suatu bentuk keterbatasan menggunakan sumber lisan dalam penyelidikan sejarah .

Bagaimana kita mahu memastikan bahawa seseorang itu bercakap benar?. Kita tidak dapat menguji kebenaran percakapan seseorang penutur itu dengan hanya mendengar ucapannya semata-mata . Kita perlu melakukan semakan dengan menyemak sumber-sumber lain . Tetapi bagaimanakah jika tiada sumber lain yang boleh dirujuk ? Bagaimana jika penutur merupakan orang terakhir yang menyaksikan perlaksanaan hukuman mati terhadap Mona Fendi yang masih hidup misalnya . Tiada lagi orang lain yang boleh dirujuk melainkan si penutur .

Inilah merupakan salah satu kekurangan sumber lisan apabila penutur merupakan sumber tunggal yang tidak dapat dibandingkan dengan sumber-sumber yang lain . Ini akan mendesak kita untuk mempercayai dan menerima kenyataannya tanpa kritik yang benar-benar mantap .

Sumber lisan ialah sumber yang dipertuturkan semata-mata . Jika ianya ditulis , ianya sudah menjadi sumber bertulis . Jika ianya dirakam , ianya sudah menjadi sumber multimedia . Sumber lisan ialah sumber nyata yang tidak ditulis dan dirakam .

Masalahnya ialah , jika sumber lisan itu tidak dirakam dan ditulis , bagaimana kita ingin meyakinkan pembaca yang membaca karya pensejarahan kita . Bagaimana ingin kita buktikan bahawa ianya adalah kenyataan yang sebenar yang dikeluarkan oleh seseorang yang menjadi sumber lisan itu sedangkan mereka tidak berada bersama kita ketika kita menemuramah sumber itu .

Inilah yang menjadi masalah yang besar jika kita menggunakan sumber lisan . Pembaca pasti tidak akan dapat merujuk secara langsung kepada sumber yang dipaparkan dan skeptikal dengan tulisan kita.

Masalah utama sumber multimedia di zaman moden ini ialah ianya sangat mudah diselewengkan . Melalui teknologi yang ada pada hari ini . kita boleh sahaja merakam suara rakan kita dan kita katakan kepada khalayak bahawa itulah perbualan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang membincangkan soal melompat parti misalnya .

Contoh lain penyelewengan ialah . Misalnya , dengan menggunakan perisian adobe photoshop , kita boleh sahaja membuat penipuan kononya mayat Almarhum Tok Janggut tidak pun digantung dengan kepala ke bawah di palang kayu di Kota Bharu ketika itu . Sedangkan hakikat sebenar , memang mayatnya diperlakukan sebegitu . Inilah salah satu masalah berkenaan sumber multimedia .

Samada ianya dipercayai atau tidak bukanlah suatu isu , yang menjadi topiknya ialah multimedia sangat mudah diselewengkan dan ketulenanya tidak dapat dijamin seratus peratus .

Merujuk kepada kegunaan sumber multimedia dibahagian awal tadi , walaupun ia dapat menjimatkan kos dan masa untuk pergi melihat sendiri sumber sebenar , namun pemerhatian melalui gambar-gambar sahaja pasti tidak memadai untuk suatu kajian yang objektif.

Ini kerana melalui multimedia , kita cuma dapat melihat visualnya tanpa dapat menyentuh , meneliti dan melihat keseluruhan bagaimana bentuk sebenar sesuatu penemuan itu . Ini mungkin akan menimbulkan ketidak fahaman secara menyeluruh terhadap sumber-sumber berkenaan .

Sumber berbentuk ataupun artifak yang sangat tua biasanya bersifat ekslusif yakni hanya melalui sumber primer sebegini sahaja kita dapat mengetahui tentang kebudayaan manusia pada zaman lampau yang sangat jauh meninggalkan zaman kita sekarang .

Keterbatasanya dapat dilihat apabila sumber ini terlalu bersifat mutlak yakni tidak dapat dibandingkan dengan sumber-sumber lain seperti sumber bertulis dan lisan . Ini bermakna ianya hanya boleh diuji dan dikritik dalam kaedahnya yang tersendiri sahaja .

Ini pasti akan menyebabkan pengkaji membuat andaian-andaian yang pelbagai . Jika proses penyelidikan yang objektif ingin digunakan , penyelidik perlulah juga merujuk sumber-sumber lain untuk proses kritikan . Tetapi masalahnya , tiada sumber lain yang dapat dirujuk keana masalah jarak waktu . Maka , hasil penyelidikan itu tidaklah boleh dikatakan tepat kerana keputusanya tidak lebih sekadar andaian-andaian yang dibuat oleh penyelidik .

Permasalahan utama menjalankan penyelidikan menggunakan sumber artifak ialah sumber sukar untuk dikenalpasti . Mungkin kita sudah menjumpai suatu titik mula untuk dirungkaikan faktanya tetapi tiada jumpaan-jumpaan lain yang dapat membantu kajian diteruskan .

Sebagai contoh , penyelidikan arkeologi di Pulau Kelumpang , Perak sudah beberapa kali ditangguhkan kerana tiada penemuan-penemuan baru dijumpai bagi meneruskan kesinambungan kajian .

Pengkaji tidak boleh menggunakan sumber yang ditemui sahaja jika sumber itu masih belum cukup untuk menggambarkan tentang sesuatu hal . Maka disinilah kita dapat melihat keterbatasan penggunaan sumber artifak dalam usaha penyelidikan .

Seperti juga sumber multimedia , samada ianya dapat dikenalpasti atau tidak , hakikatnya sumber artifak juga boleh dipalsukan . Ia dapat dipalsukan dengan pelbagai cara dan kaedah samada memalsukan bahan itu sendiri atau memalsukan cara penemuan bahan di tapak-tapak kajian .

Sebagai contoh , Seseorang yang pandai membuat gendang gangsa dan pernah pula melihat gendang gangsa lama misalnya , boleh sahaja dia mengatakan gendang yang dibuatnya itu adalah gendang gangsa yang sebenar dari zaman tertentu dan menjualnya kepada pihak muzium atau kepada sesiapa yang berminat untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda .

Perihal penipuan ini pernah diceritakan sendiri oleh Prof. Madya Mohd Kamaruzzaman A. Rahman yang diberitahu oleh seorang pakar bahan bahawa gendang gangsa di muzium arkeologi Lenggong , Perak adalah palsu .

Penipuan lain ialah seperti menipu bahawa sesuatu bahan itu ditemui dalam sesuatu tapak galicari arkeologi . Contohnya kita sengaja meletakkan serpihan tembikar biasa jauh kedalam tanah di tapak galicari dilakukan . Apabila penggali menggali tapak itu dan menemui serpihan tembikar itu , maka pastilah mereka akan membuat pelbagai andaian . Walaupun usaha penipuan itu pasti akan gagal namun hakikatnya , ianya boleh diselewengkan .

Disinilah kita dapat melihat keterbatasan menggunakan sumber artifak yang nyata berpotensi untuk menyelewengkan sesuatu fakta sejarah .

Setelah melihat apakah jenis sumber yang terdiri daripada sumber tidak bertulis , kita dapat mengetahui terdapat tiga bentuk sumber utama iaitu sumber lisan , sumber multimedia dan sumber artifak .
Kemudian kita melihat pula apakah kepentingan dan kegunaan sumber-sumber tidak bertulis ini dalam membantu usaha pensejarahan . Didalam ruang ini , dibahaskan secara ringkas kegunaan , keunikan dan kekuatan sumber-sumber tidak bertulis jika hendak dibandingkan dengan sumber-sumber bertulis .

Dalam ruang yang ketiga , kita melihat pula kelemahan dan kekurangan sumber-sumber tidak bertulis tersebut samada dari segi kelemahan dari segi bantuan sumber itu terhadap pensejarahan atau kesukaran memastikan kekuatan sumber itu sendiri .

Kesimpulanya , sumber-sumber tidak bertulis seperti sumber lisan , sumber multimedia dan sumber artifak ini mempunyai kekuatan dan kekuranganya yang tersendiri . Ianya juga serupa dengan sumber bertulis yang tidaklah boleh dianggap terlalu berwibawa jika tidak dikritik dengan sempurna .

Sumber tidak bertulis menjadi kuat dan berguna kerana sumber-sumber ini juga mempunyai kaedah-kaedah penyelidikanya yang tersendiri dan dijalankan melalui sistem kritikan yang tersendiri . Walaupun ianya lebih sukar untuk dipastikan tahap objektivitinya , tetapi ianya turut diterima sejarawan sebagai salah satu cabang daripada sumber-sumber sejarah .

Sumber tidak bertulis juga mempunyai kelemahan yang menyebabkan ungkapannya adakala terbatas dan boleh diragukan . Ini kerana sumber itu kadangkala mempunyai kelemahan-kelemahan yang nyata dan tidak perlu dipersoalkan lagi dalam usaha penyelidikan sejarah .

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Abdullah. 1994 .Pengantar Ilmu Sejarah. K.Lumpur .DBP /Pusat Pengajian Luar Kampus USM.
B.Isabella. 1883.The Golden Chersonese And The Way Thither..New York. Diulang Cetak Kuala Lumpur . OUP.
Drs. Basri MS . Metodologi Penelitian Sejarah (Pendekatan,Teori dan Praktik).Jakarta.Restu Agung.
Drs. Sidi Ghazalba . 1981. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu . Jakarta .
Penerbit Bhratara Karya Aksara .
Frank Hole , Robert F. Heizer. 1977 . Prehistoric Archeology:A Brief Introduction. Texas . H.R.W Inc.
Muhd Yusof Ibrahim . 1986. Pengertian sejarah . K.Lumpur . DBP .
Muhd Yusof Ibrahim . 2000 . Ilmu Sejarah , Falsafah , Pengertian Dan Kaedah.K.Lumpur. DBP .
Muhd. Yusof Ibrahim.2000.Pengantar Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan.PJJ.UKM.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman. 1992. Arkeologi,Seni Dan Kerajaan Kuno Sumatera Sebelum Abad ke-14.Bangi. IAAM
R.Suntharalingam .1985 . Pengenalan kepada sejarah.K.Lumpur.Merican And Sons Sdn. Bhd.

0 comments Links to this post  

ADAT DALAM MASYARAKAT MALAYSIA DAN KEPENTINGANYA

Aspek Adat Dalam Masyarakat Malaysia dan Kepentinganya

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Kerana dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Justeru dalam membicarakan kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam.

Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya. Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.

Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti “undang-undang adat”, “mahkamah adat”, “ketua adat” dan sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika dahulu.

Dalam membicarakan fokus esei ini iaitu kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui dahulu berkenaan aspek adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.

Bercakap berkenaan adat didalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya ialah adat yang dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat yang dipengaruhi zaman Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat yang berteraskan Islam.

Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita pernah melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu.

Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan “Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu, terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu itu.

Period atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga adat puja kampung, puja pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.

Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.

Apa yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.

Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan, seseorang meningkat remaja, dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.

Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan.

Azan dan Iqamat pula merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.

Adat membelah mulut pula menjadi tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah dewasa nanti.

Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka.

Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan adat kaum Cina ialah suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan yang mereka namakan “Feng Shui”, yang mana pengaruhnya masih menebal dalam kalangan mereka pada hari ini. Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang berorientasikan adat.

Seperti juga masyarakat majoriti Melayu dan Islam, masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Teo dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga sebelah lelaki. Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain, dilantik menjadi ketua keluarrga dan merupakan waris utama pusaka keluarga.

Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga didalam masyarakat Cina menyebabkan perkahwinan seorang lelaki didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran.

Kelahiran anak mengikut adat dan pantang larang Cina ialah sangat penting. Justeru kesihatan si ibu dan kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran.

Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil.

Didalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati. Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.

Sepanjang tahun dalam kehidupan masyarakat Cina, banyak sekali perayaan yang diikuti dan diraikan oleh orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan negeri China.

Antara upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.

Seperti juga kaum Cina, kaum India juga bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Samada kemasukan itu suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki, hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri.

Masyarakat India biasanya mengikuti adat resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu.

Kaum India juga mengamalkan adat bertegur sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.

Keluarga amat penting dalam masyarakat India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan terutama ketika mereka masih dara.

Seorang suami pula didalam masyarakat India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh kerana itu, proses perkahwinan India mesti ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang akan berkahwin. Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu.

Seperti juga adat kaum-kaum lain, kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya seorang bayi. Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan upacara tersebut.

Dalam aspek pemberian nama anak, nama seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum wanita mereka.

Dari aspek perayaan, terdapat banyak perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.

Perayaan kaum India diadakan dengan mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam dan Thaiponggal.

Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’ ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia.

Thaipusam pula adalah perayaan bulan “Thai” untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan dibawa pelbagai persembahan.

Thaiponggal pula merupakan perayaan menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.

Melanjutkan perbicaraan terdahulu berkaitan adat atau disebut juga budaya masyarakat-masyarakat utama Malaysia, apa yang cuba digambarkan bukanlah bagaimana bentuk adat-adat tradisi masyarakat di Malaysia semata-mata, tetapi kita berusaha untuk melihat bagaimana setiap kaum itu mempunyai adat dan kepercayaanya yang membentuk identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Secara tidak langsung juga didalam bahagian itu kita telah membicarakan kepentingan adat kepada kaum-kaum tersebut. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun jika diteliti, kita pasti akan memahami akan kepentingan adat-adat itu sekurang-kurangnya sebagai perlambangan identiti dan peribadi masyarakat mereka.

Bercakap berkenaan identiti dan keperibadian masyarakat. Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia, kita tidak hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Malaysia merupakan sebuah negara yang bangsa-bangsa didalamnya adalah bercampur ataupun dalam istilah yang lebih mudah, masyarakat yang majmuk. Justeru apa yang ingin dijadikan topik disini ialah bagaimana kepelbagaian adat didalam masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional. Maknanya kita perlu membicarakan tentang bagaimana kepelbagaian adat di Malaysia itu dapat disatukan dan dijadikan sebagai adat yang satu bagi menjadi lambang identiti dan peribadi nasional. Perlu dibincangkan juga ialah apakah aspek teras yang menjadi garis panduan budaya nasional ini.

Dalam mengungkap permasalahan ini, kita sebenarnya hanya perlu mencari aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan adat nasional yang menjadi perlambangan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia dan apakah kepentingan aspek adat itu serta kepentingan identiti dan keperibadian kebangsaan itu sendiri.

Aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional lebih mudah kita fahami melalui pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada 1971. Dasar ini diputuskan melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan ianya dihadiri oleh wakil-wakil dari setiap kaum di Malaysia.

Melalui pembentukan ini, secara rasmi telah digariskan beberapa perkara yang menjadi teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia. Justeru melalui kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memang digagaskan bagi maksud itu, kita akan dapat mengungkap aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional yang menjadi fokus tulisan ini.

Antara aspek teras dalam pembentukan identiti dan peribadi nasional ialah identiti dan kepribadian Malaysia haruslah berteraskan adat asal rantau ini. Definisi geografi berkaitan ‘rantau ini’ ialah kawasan yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik iaitu Polynesia, Melanesia, Oceania sehingga ke Madagascar. Rantau ini adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan warisan adat masyarakat Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa yang juga dipanggil sebagai linguafranca.

Adat serantau ini juga digambarkan melalui persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu iaitu Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Justeru dalam aspek Malaysia, secara mudahnya, aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional ialah adat masyarakat Melayu.

Hal ini tidak dapat dipertikaikan oleh masyarakat lain kerana adat atau budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Maka apabila dipersetujui adat masyarakat asal serantau dijadikan identiti Malaysia, pastilah di Malaysia, adat Melayu yang paling layak diletakkan didalam kategori itu. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim sendiri, walaupun berbangsa Cina, turut mengakui bahawa masyarakat Melayu ialah nuklius ataupun teras dalam masyarakat Malaysia. Justeru adat Melayu dijadikan teras identiti semua kaum di Malaysia adalah sangat berpatutan ataupun dalam istilah arab dipanggil adil.

Aspek teras pembentukan identiti yang kedua ialah menggunakan unsur-unsur adat dan kebudayaan luar yang sesuai dan wajar untuk diterima sebagai identiti Malaysia. Aspek ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai adat dan budaya. Dengan itu unsur-unsur adat Cina, India, Kadazandusun, Arab, Barat dan lain-lain unsur adat yang sesuai, boleh diberi pertimbangan untuk diterima dan dijadikan sebagai identiti kebangsaan.

Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada kerelevenannya yang pasti tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan, prinsip-prinsip Rukun Negara, kepentingan nasional, asas-asas moral serta kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

Dalam penerimaan teras kedua ini, kita melihat berlaku tolak ansur sesama kaum di Malaysia dalam soal pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan. Bukan sahaja identiti Melayu diangkat sebagai identiti kebangsaan, tetapi juga identiti kaum-kaum lain di Malaysia. Ia juga diterima kerana terdapat unsur-unsur adat yang sama dan seiring dengan adat teras iaitu adat dan kebudayaan Melayu.

Namun, hal ini juga tidak boleh dijadikan isu samada identiti kebangsaan itu orientasinya adalah daripada warisan adat kaum yang mana. Ini kerana pembentukkan identiti dan keperibadian kebangsaan itu bukanlah bertujuan untuk mempromosikan adat masing-masing untuk digunakan oleh semua rakyat Malaysia, sebaliknya ia jelas berperanan untuk menyeragamkan identiti masyarakat yang pelbagai untuk dijadikan identiti Malaysia yang satu. Namun identiti bangsa juga masih boleh dikekalkan dan dipelihara kelangsunganya.

Aspek ketiga yang menjadi teras kepada pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan ialah agama Islam. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting didalam proses pembangunan dan perpaduan negara. Agama juga perlu bagi merealisasikan pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal. Kerana itu ia patut dijadikan unsur yang penting dalam pembentukan identiti kebangsaan. Ini juga memandangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Di samping itu, telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini sejak dahulu lagi.

Bercakap pula tentang kepentingan aspek-aspek adat yang dijadikan teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian kebangsaan, aspek teras yang disenaraikan seperti adat masyarakat rantau ini, adat luar yang sesuai dan adat yang berpandukan Islam pasti mempunyai kepentingannya yang tertentu.

Yang pertama, kepentingan adat Melayu dijadikan sebagai teras dalam pembentukan identiti nasional ialah untuk memastikan kestabilan sosial dan politik di Malaysia terus terpelihara. Harus kita fahami apabila kita bercakap berkenaan Malaysia, majoriti penduduknya ialah orang Melayu. Kerana orang Melayu ialah majoriti didalam masyarakat Malaysia, adalah penting untuk menjadikan adat kaum yang majoriti sebagai ikutan kepada kaum-kaum lain yang lebih kecil populasinya. Ini bagi memastikan tidak berlaku pertikaian kepada masyarakat lain di Malaysia khususnya kepada masyarakat Melayu sendiri sebagai entiti yang terbesar dan bertaraf peribumi di Malaysia. Kedudukan masyarakat Melayu yang dianggap nuklius didalam sistem sosial di Malaysia juga merupakan kepentingan yang perlu diambil berat sesuai dengan kedudukan istimewanya yang dijamin Perlembagaan.

Kedudukan Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Agong juga merupakan aspek yang penting untuk menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional. Raja-Raja dan Yang Dipertuan Agong merupakan tuan kepada negeri-negeri dan negara Malaysia sendiri. Mereka juga merupakan orang Melayu. Kedudukan mereka yang menjadi lambang perpaduan negara ini menyebabkan adat istiadat mereka iaitu adat istiadat Melayu diterima sebagai suatu unsur teras dalam melaksanakan identiti Malaysia secara bersama. Justeru untuk memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus dilindungi dan dihormati, maka dalam usaha untuk membentuk identiti dan peribadi kebangsaan, adat Melayu tidak boleh dikesampingkan.

Kita juga harus melihat kepentingan untuk menerima mana-mana unsur adat dan budaya luar untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan. Walaupun telah dipersetujui bahawa adat Melayu merupakan adat teras yang dijadikan ikutan setiap rakyat Malaysia, namun ketetapan itu tidak bermaksud hanya itu sahaja adat yang akan diterima kearah pembentukan identiti yang seragam dalam masyarakat Malaysia. Adat dan budaya kaum lain yang sesuai juga dapat dipraktikkan asalkan ianya tidak bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ini bagi memastikan tiada suara-suara yang mempertikaikan tindakan kerajaan yang menggariskan unsur-unsur penting kearah membentuk budaya kebangsaan. Pendek kata, penerimaan unsur-unsur asing ini ialah supaya keharmonian kaum di Malaysia akan terus berlangsung dengan jayanya.

Unsur-unsur adat dan budaya luar juga penting untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan kerana bagi menghasilkan budaya kebangsaan yang tidak terlalu stereotaip dengan adat dan budaya Melayu, adat lain juga perlu disenaraikan. Budaya kebangsaan diwujudkan untuk menunjukkan peribadi dan identiti masyarakat Malaysia yang pelbagai, bukan hanya untuk melambangkan budaya dan adat Melayu semata-mata. Dengan adanya unsur-unsur yang diluar daripada adat dan budaya Melayu yang sesuai, maka akan terhasil suatu modul identiti masyarakat yang pelbagai dan bersifat luwes.

Unsur Islam yang dijadikan teras kebudayaan kebangsaan juga penting bagi menjamin kedudukannya yang merupakan agama rasmi Malaysia. Islam tidak boleh dan tidak dapat disamakan dengan agama-agama lain kerana ia merupakan agama yang sebenar. Maka dalam usaha menerapkan identiti kebangsaan, Islam tidak boleh dikesampingkan. Selain kerana kedudukan Islam sebagai agama rasmi, ia juga penting kerana Islam merupakan tunjang kepada kehidupan masyarakat Melayu iaitu masyarakat peribumi dan majoriti di Malaysia. Walaupun identiti dan peribadi kebangsaan adalah berteraskan Islam, namun agama-agama lain bebas untuk dilaksanakan dengan syarat amalan agama-agama lain tidak akan menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama utama di Malaysia.

Masyarakat Malaysia sudah mempunyai adat yang tersendiri, tetapi kenapa kerajaan masih berkehendak supaya diwujudkan suatu adat dan budaya baru bagi mencerminkan identiti dan keperibadian Malaysia yang seragam? Adakah dengan budaya dan adat kaum-kaum yang sedia ada di Malaysia tidak cukup untuk mencerminkan identiti negara?

Bagi mewujudkan identiti yang seragam seiring dengan kesanggupan pelbagai kaum untuk hidup bersama di Malaysia, tidak dapat tidak, penyeragaman identiti dan keperibadian kebangsaan ini perlu dilakukan. Antara kepentingan masyarakat Malaysia disatukan melalui adat dan budaya kebangsaan ialah untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa pertuturan tetapi dapat hidup berdampingan, berganding bahu, bertimbang rasa dan penuh dengan sikap toleran. Penyeragaman identiti dan keperibadian berbagai-bagai etnik adalah perlu untuk rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan aman daripada persengketaan serta kucar-kacir. Dalam erti kata yang lain, identiti dan keperibadian yang seragam ini akan membolehkan perpaduan nasional berlangsung dengan lebih utuh lagi.

Identiti dan kepribadian kebangsaan juga berkepentingan untuk menghindarkan masyarakat dari me1akukan perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya kebangsaan ini penting ke arah melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju, progresif, saintifik dan bersatu padu tanpa ada unsur-unsur negatif dalam kehidupan seharian sesama sendiri. Tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang mengamalkan kebudayaan, adat resarn, agarna dan bahasa masing-masing diharap akan dapat bersatu melalui usaha bersama yang murni ini.

Kebudayaan dan adat ahli masyarakat Malaysia walaupun berbeza, namun mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Melalui usaha membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan, ia membolehkan masyarakat negara kita berinteraksi dengan lebih baik di antara satu sama dalam melaksanakan matlamat yang sama iaitu untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh dengan ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar didalarn agama mereka. Interaksi antara kaum ini penting untuk menghindari masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan. Interaksi antara kaum yang baik juga adalah merupakan satu jalan kearah perpaduan nasional dan mencetuskan masyarakat yang harmonis dan bersatu padu.

Budaya yang seragam bagi rakyat Malaysia juga penting bagi memastikan perancangan dan tindakan kerajaan untuk menerap serta menanam nilai-nilai murni ke dalam akal fikiran, hati budi serta perilaku masyarakat Malaysia di pelbagai lapisan masyarakat dapat direalisasikan. Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang merupakan perkara penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seharusnya ditegaskan sebagai sebahagian dari proses pembangunan identiti untuk mencapai tahap keutuhan peribadi dan perilaku yang mulia dan berbudi bahasa. Maka identiti dan keperibadian kebangsaan ini diharap akan meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

Segala tindakan idealisme kebangsaan ini juga adalah suatu usaha untuk membina bangsa Malaysia melalui semangat Rukunegara. Perisytiharan Rukunegara dengan jelas meletakkan negara di atas cita-cita perpaduan, kehidupan demokratik, keadilan, tradisi budaya serta masyarakat progresif. Oleh itu, budaya dan identiti seragam ini penting untuk memastikan cita-cita tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya.

Berbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan identiti dan keperibadian kebangsaan. Secara umumnya pencapaian matlamat dan objektif hasrat ini telah menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan. Perlu diingat bahawa didalam pembentukan dan pewujudan satu kebudayaan kebangsaan, proses penyerapan dan penerimaannya akan mengambil masa yang lama dan mungkin melangkaui satu generasi ke satu generasi yang lain.

Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini, meskipun masih lagi baru usianya namun pembentukan identiti nasional dan perpaduan kaum dan nilai murni Islam telah pun dilaksanakan. Adalah didapati bahawa pencapaian ke arah ini telahpun jelas kelihatan semenjak ia mula diterapkan. Identiti kewarganegaraan dan adat Malaysia pada hari ini boleh didapati didalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga di dalam kegiatan seni sukan dan perayaan pelbagai kaum di Malaysia sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Secara ringkas bolehlah dikatakan aspek adat yang menjadi teras identiti dan keperibadian negara Malaysia telah dapat diterima dan diikuti secara beransur-ansur oleh setiap golongan rakyat Malaysia. Namun demikian pelaksanaannya pasti rumit dan tidak akan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu mencapai hasrat dan cita-cita pelaksanaan ini kerana dengan keinsafan itu sahaja adat yang membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan akan dapat dibezakan dengan adat yang bersifat kesukuan atau perkauman. Identiti dan keperibadian yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.


BIBLIOGRAFI

___________________, 2004, Buku panduan Budi Bahasa Budaya Kita,K. Lumpur.KEKKWA.
A.Aziz Deraman, 2001, Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia(Edisi Baharu),K.Lumpur,DBP.
Anwar Din(Penyunting), 2008, .Asas Kebudayaan Dan Kesenian Melayu,Bangi,Penerbit UKM.
Gullick. J , 1981, Malaysia:Economic Expansion and National Unity, ,London,Westview Press.
Hanapi Dollah,1986, Asimilasi Budaya:Kajian Kes Komuniti Cina Di Kelantan,Bangi,
Penerbit UKM.
M.Rajantheran & S.Manimaran,1994, Perayaan Dan Keraian Orang India,K.Lumpur,
Fajar Bakti.
Mohd. Taib Osman, 1983, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu,K.Lumpur,DBP.
Puti Reno Raudha Thaib,1989, Peran Adat Dalam Pengembangan Kepariwisataan,Jakarta,Pustaka Aksara.
Wan Abd. Kadir Yusoff & Zainal Abidi Borhan, 1985, Idealogi dan Kebudayaan Kebangsaan, K.Lumpur, Jab. Pengajian Melayu,UMalaya.
Wan Ramli Wan Muhd & Hanapi Dollah, 1999, Pantang Larang Orang Melayu Tradisional, K.Lumpur.Utusan Publications.

0 comments Links to this post  

AUKU:HAK MAHASISWA YANG DIRAMPAS

AUKU:HAK MAHASISWA YANG DIRAMPAS
AUKU yang selalu disebut pada hari ini merupakan singkatan kepada Akta Universiti Dan Kolej Universiti. Ianya telah digubal oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad pada tahun 1971. Akta ini pernah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1995. Pada hari ini, AUKU ialah undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyelenggara dan mengawasi pentadbiran Universiti dan Kolej Universiti di Malaysia.
Dalam konteks apa yang disebut sebagai AUKU merampas hak asasi mahasiswa, iaitu pelajar-pelajar Universiti, kita melihat AUKU yang dipinda pada 1975 adalah lebih jelas usahanya untuk mengekang hak asasi mahasiswa. Ini mungkin bagi melemahkan gerakan mahasiswa yang pernah menggegarkan negara setahun sebelum AUKU dipinda iaitu pada tahun 1974. Seperti yang sedia kita maklumi, pada 1974, gerakan mahasiswa telah mengadakan kempen besar-besaran bagi menentang kerajaan berikutan kemiskinan di Baling. Mereka bukan sahaja berdemontrasi sesama mereka, tetapi turut menjadi agen untuk mengajak seluruh rakyat bangkit memberi respons tidak puas hati terhadap kerajaan. Maka dari sebab itu, AUKU yang dipinda setahun selepas itu berusaha untuk melemahkan gerakan yang dianggap sebagai ancaman ini.
Dalam tulisan ini, kami sedaya upaya cuba untuk menunjukkan sejauh mana AUKU telah mengekang hak asasi mahasiswa. Kami telah menghuraikan kenapa seksyen-seksyen tertentu didalam AUKU itu kami katakan sebagai zalim yakni ia berada diposisi yang tidak betul. Kami juga membuat sedikit perbandingan berkenaan mahasiswa dahulu yakni mahasiswa yang masih belum kukuh dicengkam AUKU dan mahasiswa sekarang yang lebih 30 tahun merasai kezaliman AUKU. Ini bagi membuktikan bahawa AUKU sememangya perlu dipinda bagi menghasilkan mahasiswa berintegriti tinggi pada masa hadapan.
Seksyen-seksyen dalam pindaan AUKU yang dilihat menghalang kebebasan hak asasi mahasiwa ialah 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, dan 16C. Dalam seksyen 15 (1),(2),(3) dan (4) menyatakan pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan, dsb. kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atau
diluluskan oleh Naib Canselor. Jika kita melihat kepada seksyen ini ia secara langsung telah menyekat kebebasan mahasiswa untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan, parti politik, serta kesatuan sekerja. Penglibatan mereka bukanlah bertujuan untuk membolehkan mereka menjadi ahli politik ataupun mencampuri urusan kesatuan sekerja misalnya tetapi ia lebih kepada memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengetahui serta mempelajari realiti senario kehidupan di luar kampus yang akan ditempuhi juga oleh mereka pada masa akan datang.
Dalam seksyen 15A pula menyatakan pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang memungut wang. Seksyen ini turut menyekat kebebasan mahasiswa iaitu keaktifan mereka dalam kegiatan berpersatuan. Apabila mahasiswa, pertubuhan ataupun kumpulan dan yang berkaitan dengannya dilarang memungut wang, maka mereka tidak akan mempunyai peruntukan dan kewangan yang kukuh untuk menjalankan berbagai aktiviti yang dirancangkan. Hal ini menyebabkan kreativiti mahasiswa akan tersekat disebabkan kewangan yang tidak mencukupi dan ini sememangnya bertentangan dengan harapan untuk melahirkan mahasiswa yang berkemahiran dalam segala aspek dan yang mempunyai modal insan yang berkualiti.
Manakala seksyen 15B pula menyatakan tanggungan jenayah pemegang jawatan, dll., pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar. Dalam kurungan satu seksyen ini menjelaskan seseorang mahasiswa yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan di bawah undang-undang bertulis sama ada dia disabitkan kesalahan atau tidak, akan dianggap bersalah sehingga dia berjaya membuktikan yang dia memang tidak bersalah dan tidak terlibat dalam kesalahan tersebut. Hal ini amatlah mendukacitakan seolah-olah kita telah mengamalkan kembali sistem perundangan China pada zaman dinasti dahulu di mana seseorang akan dianggap bersalah dalam sesuatu kesalahan sehingga terbukti dia memang tidak bersalah. Seksyen ini juga bertentangan dengan sistem perundangan negara yang hanya menyabitkan kesalahan seseorang apabila dia terbukti bersalah.
Selain itu jika ada pemegang jawatan, atau seseorang yang membantu dalam pengurusan atau membantu dalam pengurusan mana-mana pertubuhan atau kumpulan yang terlibat dalam melakukan kesalahan juga akan turut didakwa walaupun dia mungkin tidak mengambil bahagian dalam melakukan kesalahan itu. Sebagai contoh jika seseorang mahasiswa yang merupakan ahli kepada sesebuah persatuan melakukan sesuatu kesalahan maka presiden persatuan itu boleh turut didakwa. Hal ini sangat mengecewakan kerana seseorang presiden juga adalah pelajar sama seperti ahlinya itu dan dia sudah tentu tidak dapat mengawal dengan sebarang tindakan ahlinya seperti persatuan luar ataupun mana-mana NGO.
Di dalam seksyen 15C pula ia berkaitan pendakwaan dengan penubuhan pertubuhan ataupun kumpulan pelajar. Dalam seksyen ini menyatakan tidaklah perlu bagi pihak pendakwa membuktikan bahawa sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan orang mempunyai sesuatu nama atau bahawa ia telah ditubuhkan atau biasanya dikenali dengan sesuatu nama tertentu. Keadaan ini menunjukkan pihak pendakwa tidak perlukan bukti tetapi cukup dengan sekadar andaian yang mengatakan sesuatu pertubuhan itu tidak sah maka ia boleh dianggap tidak sah. Selain itu dalam aspek anggapan ini jika pendakwa menemui sebarang bukti yang dianggap boleh dikaitkan sebagai penglibatan mereka dalam kesalahan tersebut maka mereka akan dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Manakala seksyen 15D pula menyatakan tentang penggantungan dan pembuangan pelajar yang dipertuduh atas suatu kesalahan jenayah atau yang terhadapnya suatu kesalahan jenayah dibuktikan. Dalam subseksyennya menerangkan jika seseorang pelajar itu dituduh atas sesuatu kesalahan maka dia serta merta akan digantung pengajian dan tidak boleh memasuki mana-mana kampus ketika perbicaraan mengenai kesalahannya berlangsung. Adalah sesuatu yang tidak relevan seseorang mahasiswa tidak dibenarkan memasuki kampus ketika perbicaraan berlangsung kerana kesalahan yang dilakukan bukanlah sebesar mana dan tidaklah berbahaya seperti membunuh atau merogol yang sepatutnya lebih wajar diberikan sekatan serta mereka sepatutnya boleh terus belajar kerana belum lagi dibuktikan bersalah. Selain itu ada juga dinyatakan jika pelajar ini terbukti bersalah mereka akan serta merta dilucutkan status sebagai pelajar dan dilarang memasuki kampus lagi. Hal ini menunjukkan seolah-olah mereka adalah penjenayah yang sangat berbahaya dan akan mengancam keselamatan kampus jika diberi kebebasan berbuat demikian. Yang paling mendukacitakan jika mereka berbuat demikian mereka boleh didenda pula.
Seksyen 16 pula menjelaskan tentang kuasa Naib Canselor untuk menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar. Menurut seksyen ini jika seseorang Naib Canselor merasakan mana-mana pertubuhan, atau kumpulan pelajar menjalankan aktiviti yang pada pendapatnya bolah menjejaskan dan mengancam ketenteraman Universiti dan awam serta melanggar mana-mana undang-undang bertulis, dia boleh dengan kuasa budi bicaranya membubarkan pertubuhan atau kumpulan tersebut. Dalam konteks ini Naib Canselor tidaklah mampu untuk memberi kepastian tentang aktiviti yang dilakukan oleh pertubuhan atau kumpulan tersebut bersalah setiap masa. Bagaimana jika beliau melakukan kesilapan dalam menilai dan turut dipengaruhi oleh golongan yang berkepentingan. Kuasa Naib canselor ini juga melanggar hak asasi kerana pertubuhan atau kumpulan ini tidak berpeluang untuk membela diri.
Di dalam seksyen 16B menyatakan tentang pihak berkuasa tatatertib universiti iaitu Naib Canselor sendiri. Naib Canselor universiti boleh mengenakan tindakan tatatertib kepada pelajar sebagaimana yang diperuntukkan oleh lembaga universiti. Naib Canselor yang menjadi pihak berkuasa tatatertib dibawah subseksyen (1), boleh mewakilkan mana-mana daripada fungsi, kuasa atau kewajipan tatatertibnya kepada mana-manaTimbalan Naib Canselor, mana-mana kakitangan, mana-mana pegawai atau mana-mana pekerja Universiti, atau kepada mana-mana lembaga kakitangan, pegawai atau pekerja Universiti. Seperti yang telah dinyatakan tadi kuasa Naib Canselor tadi adalah seperti yang diperuntukkan oleh lembaga, justeru ia tidaklah mengikut undang-undang yang sebenar kerana masih boleh dipengaruhi oleh unsur berat sebelah.
Dalam pada itu jika seseorang pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib itu tidak berpuas hati dengan keputusan Naib Canselor boleh mengemukakan rayuan kepada menteri dalam masa tiga puluh hari dari tarikh keputusan disebut dan menteri boleh menolak secara terus rayuan itu. Jika menteri tidak menolak dia boleh melantik jawatankuasa yang kemudiannya mengesyorkan kepada menteri yang boleh mempertimbangkan rayuan tersebut samaada menolak atau menerima. Persoalannya ialah apakah kemampuan atau autoriti dari aspek perundangan yang dimiliki oleh menteri untuk mempertimbangkan rayuan ini. Kemungkinan yang paling tidak dikehendaki ialah menteri turut mempunyai kepentingan dalam kes ini dan keputusan yang dibuat akan menjadi berat sebelah. Hal ini tidak memberi keadilan kepada pelajar yang mengemukakan rayuan itu.
Selain itu kaedah-kaedah tatatertib diterangkan dalam seksyen 16C AUKU ini. Subseksyennya menjelaskan lembaga mempunyai kuasa untuk membuat apa-apakaedah tatatertib sebagaimana yang difikirkannya perlu atau suai manfaat untuk mengadakan peruntukan mengenai tatatertib bagi kakitangan, pegawai dan pekerja Universiti dan pelajar Universiti;kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat di bawah subseksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana lembaga mungkin akan membuat peruntukan tatatertib yang tidak adil dan hanya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sepatutnya peruntukan tatatertib dilakukan oleh golongan yang tidak dipengaruhi oleh kepentingan pihak-pihak tertentu seperti pengamal undang-undang misalnya.
Apabila kita bercakap soal AUKU sebagai sebuah akta yang mengikat mahasiswa dan mahasiswi didalam makalah yang bercorak akademik, seharusnya kita membuktikan kenyataan itu. Adakah benar AUKU telah merubah budaya kampus daripada satu masyarakat yang aktif di era 1970-an dahulu kepada masyarakat pelapis yang semakin lesu pada abad ke 21 ini. Bagi mencari sejauhmana kebenaran yang didakwa itu, haruslah kita bandingkan secara terperinci perbezaan mahasiswa dahulu berbanding mahasiswa sekarang dengan fokus untuk menganalisis kesan AUKU terhadap pergerakan mahasiswa masa kini.
Perbezaan yang paling nyata diantara mahasiswa dahulu dan sekarang ialah tentang tanggunjawab sosial kepada masyarakat. Suatu ketika dahulu mahasiswa mengambil peranan sebagai jurubela rakyat. Mereka menjadi barisan hadapan masyarakat bagi menyuarakan sebarang sokongan ataupun bantahan kepada kerajaan berkaitan hak dan kebajikan masyarakat. Dalam sejarah perjuangan mahasiswa sendiri, demontrasi terbesar yang pernah digagaskan ialah untuk membela masyarakat yang tertindas. Demontrasi Baling 1974 yang berusaha membela masyarakat miskin di Kedah itu merupakan salah satu bukti kukuh betapa rapatnya hubungan warga kampus dengan anggota masyarakat. Selepas peristiwa inilah, AUKU yang digubal pada 1971 itu diubah isinya supaya lebih keras dalam ‘mengajar’ mahasiswa yang dianggap samseng jalanan itu.
Berbanding dengan mahasiswa dahulu yang membela masyarakat secara terang-terangan, mahasiswa sekarang tidak menunjukkan pendirian mereka dengan cara ini. Mungkin untuk mengatakan mereka tidak peka terhadap masyarakat merupakan suatu tuduhan yang melampau, namun berdasarkan pengalaman sejarah, mahasiswa sekarang memang tidak berupaya bertindak seperti rakan-rakan mereka suatu ketika dahulu. Dalam maksud yang lain, walaupun mereka peka terhadap masyarakat, tetapi untuk berdemontrasi seperti dahulu, mereka terpaksa menimbang niat itu berkali-kali kerana takutkan ancaman AUKU yang boleh menggelabkan masa hadapan mereka.
Antara bukti lain AUKU menyekat mahasiswa ialah apabila mahasiswa dahulu lebih bebas dalam menjalankan aktiviti berpersatuan. Persatuan-persatuan mahasiswa yang lama seperti UMSU, Kelab Sosialis UM, PBMUM, PMIUM, PMUKM, ISIUKM, PKPIM, KSITM dan sebagainya bebas merencanakan aktiviti mereka selaras dengan matlamat dan ideologi perjuangan mereka. Ketika zaman AUKU belum dikuatkuasakan, mereka berpersatuan bukan untuk bersuka-suka, sebaliknya berusaha untuk menyumbang sesuatu kepada proses pembinaan jatidiri rakyat dan negara. Kebanyakan aktiviti mereka ketika itu adalah sama dengan aktiviti persatuan-persatuan mahasiswa hari ini, cuma mereka bernasib baik kerana ketika itu, runag untuk berpersatuan terbuka seluas-luasnya.
Berbanding dengan situasi sekarang, persatuan-persatuan mahasiswa lebih terkongkong untuk beraktiviti. Ini kerana kebebasan yang pernah wujud suatu ketika dahulu sudah semakin disempitkan semangatnya oleh pihak-pihak tertentu. Pihak berwajib universiti kelihatannya hanya menggalakkan aktiviti-aktiviti yang bercorak kebudayaan, sukan dan motivasi sahaja. Aktiviti-aktiviti ilmiah seperti ceramah, usrah, forum dan sebagainya yang ingin dianjurkan oleh persatuan mahasiswa dipandang dengan penuh perasaan prejudis. Ini kerana pihak berkuasa universiti juga terpaksa mematuhi AUKU yang melarang mahasiswa bebas beraktiviti seperti dahulu.
Begitu juga dengan idealogi persatuan. Mahasiswa dahulu lebih berterus terang dalam mempamerkan idealogi mereka. Mereka tidak teragak-agak untuk mengatakan kami penyokong Kebangsaan, penyokong Islam, Sosialis dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, mereka berani mengambil risiko diatas tindakan mereka itu.
Berbeza dengan mahasiswa pasca AUKU, mereka diancam dengan akta drakonian ini, kebanyakan dari mereka hanya berani mengishtiharkan pegangan mereka jika perkara itu tidak bercanggah dengan aliran pro kerajaan semata-mata.
Mahasiswa dahulu juga lebih bebas dalam usaha mengkritik golongan atasan seperti pihak kerajaan dan pihak pengurusan universiti sendiri. Walaupun tindakan mereka itu lazimnya tidak digemari oleh golongan pemerintah, namun ketika itu tiada lagi akta seperti AUKU yang boleh membunuh minda intelektual mereka. Sebagai contoh, mahasiswa dahulu pernah berdemontrasi menentang pemerintahan Tunku Abdul Rahman berkenaan Kes 13 Mei 1969. Mereka tidak dikenakan tindakan yang berat kerana perbuatan mereka itu walaupun yang dilawan itu ialah Perdana Menteri sendiri. Bahkan, Tunku sendiri sedia berjumpa dengan golongan ini dan berbincang dari hati kehati atas semangat cintakan negara. Prof. Ungku Aziz juga ketika menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya telah membuka ruang yang luas kepada mahasiswa Universiti Malaya untuk mengkritiknya dan sedia berdialog dengan golongan ini.
Namun apabila bermulanya pelanggaran hak asasi mahasiswa melalui AUKU yang jelas bermula pada tahun 1975, situasi menggugat seperti dahulu sudah tiada. Pihak berwajib bermula daripada pihak keselamatan kampus hinggalah Kementerian Pengajian Tinggi telah bergabung tenaga dipelbagai peringkat untuk menghalang golongan pelajar ini daripada bersifat skeptikal terhadap tata urus negara dan universiti sendiri. Jika ada daripada kalangan mahasiswa yang bersuara, pasti mereka akan ditekan dengan pelbagai ancaman yang menakutkan mahasiswa itu sendiri. Maka bezanya dapat kita lihat denga jelas dalam kalangan mahasiswa dahulu yang tidak terlalu terkongkong, dengan mahasiswa hari ini yang sangat dikongkong.
Pergerakan mahasiswa sebelum AUKU juga nampaknya telah dapat melahirkan pimpinan mahasiswa yang lebih trampil dalam persada massa. Nama-nama seperti Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan sebagainya nyata masih disanjung sehingga ke hari ini sebagai lagenda aktivis mahasiswa yang pernah menggugat suatu ketika dahulu. Sekarang mereka menjadi orang yang terkenal dan dihormati. Ada juga daripada kalangan aktivis mahasiswa dahulu walaupun kurang disenangi sesetengah pihak, akhirnya berjaya menjadi pensyarah di universiti mereka sendiri. Sebagai contoh ialah Prof. Dato’ Mohammad Abu Bakar, Dekan Fakulti Sastera Dan Sains Sosial UM sekarang dan juga Prof. Madya Dr. Asiah Sarji, yang menjadi Ketua Program Komunikasi Dan Dasar Awam UKM sekarang.
Mahasiswa sekarang pula amat miskin dengan bakat-bakat kepimpinan yang berketrampilan. Sukar untuk kita kenali nama-nama pimpinan mahasiswa sekarang yang benar-benar berkualiti dan berkarisma. Hatta didalam Majlis Perwakilan Pelajar sendiri pun, Presidennya kelihatan lesu dan kekok untuk bercakap. Ini kerana mereka bukanlah individu yang selayaknya berada di tempat itu tetapi hanya menjadi alat yang dipergunakan oleh golongan tertentu untuk maksud-maksud yang lain.
Daripada beberapa perbandingan ringkas yang dinyatakan diatas, dapat kita lihat betapa berbezanya mahasiswa dahulu dengan mahasiswa sekarang. Mahasiswa dahulu ialah mahasiswa yang berada di kampus ketika AUKU belum benar-benar mengikat aktiviti dan pergerakan mahasiswa. Mahasiswa sekarang pula ialah mahasiswa yang muncul di kampus selepas lebih 30 tahun AUKU dilaksanakan di Universiti dan Kolej Universiti. Memang tidak kita nafikan, faktor kelemahan mahasiswa sekarang berbanding mahasiswa dahulu dipengaruhi oleh pelbagai sebab. Namun antara sebab yang terbesar ialah perlaksanaan AUKU itu sendiri yang telah menjadikan mahasiswa takut untuk menjadi diri sendiri. Apabila mahasiswa itu hidup dalam lakonan, inilah hasilnya. Mahasiswa sekarang nyata lebih lesu dari segala aspek berbanding mahasiswa dahulu.
Kesimpulannya, setelah diteliti dokumen asal AUKU dan dokumen yang dipinda pada tahun 1975 dan 1995, kita melihat AUKU sebenarnya bukanlah diwujudkan semata-mata untuk mengikat kebebasan mahasiswa sahaja. Ada pelbagai lagi seksyen yang diwujudkan bagi lain-lain perkara seperti tatacara menubuhkan Universiti, perlantikan pegawai Universiti, pengurusan Universiti dan sebagainya. Seksyen yang mengikat mahasiswa daripada terus aktif dalam lapangan mereka hanyalah sebahagian kecil daripada sekian banyak perkara yang disebut didalam Akta ini.
Namun, sebahagian kecil inilah yang sememangnya telah menyekat kebebasan mahasiswa dengan begitu rakus sekali. Pindaan dalam seksyen 15A, 15 B, 15C,15 D, 16A, 16B dan 16 C adalah sangat ketara bertujuan untuk mengekang kebebasan mahasiswa dalam berbagai perkara yang dinyatakannya. Ini yang menyebabkan mahasiswa pasca AUKU menjadi semakin lesu dan ada juga sebilangan kecil dari mereka berusaha meminta kerajaan menghapuskan AUKU yang memang jelas berniat kotor untuk ‘menyucuk hidung’ mahasiswa supaya hanya patuh kepada arahan pihak-pihak tertentu didalam kerajaan dan Universiti.
Bagi kami, segala penentangan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah berpunca daripada ketidakpuashatian terhadap sistem yang ada, mahasiswa mengimpikan sesuatu yang idealis dan berpendapat bahawa generasi mereka mempunyai peranan dalam membentuk masa depan. Memang benar sebagai insan yang mempunyai status sebagai mahasiswa, mereka punyai perjuangan yang suci dan murni.
Minda mahasiswa perlu dibebaskan agar tidak terikat dengan satu pemahaman sahaja malah perlu wujudnya interaksi ilmiah agar budaya ilmu kembali menjadi seperti sedia kala. Mahasiswa perlu membawa imej sikap kritis, mencabar dan menentang. Tetap menjadi lambang perwatakan mahasiswa yang berpelajaran dan berengetahuan. Prof. Diraja Ungku A. Aziz pernah menyebut, "biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar".
"Belajar sambil
mencabarPengetahuan tidak terjuntai
seperti pisangBangsamu tidak termaju
tanpa pemimpinBerpengalaman (mencabar) DAN terpelajar"

BIBLIOGRAFI

_______________________, 2006, Undang-undang Malaysia, Akta 30, Akta
Universiti Dan Kolej Universiti, 1971,Pindaan Sehingga Januari 2006, K.Lumpur, Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia.
_______________________, 2000, Citra Cemerlang 30 Tahun UKM, Bangi, Penerbit UKM
Abdul Razaq Ahmad (Penyunting.),2005, Mahasiswa Abad 21, Bangi, Fakulti Pendidikan , Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Abu Bakar, 1973, Mahasiswa Menggugat, K.Lumpur, Pustaka Antara.
Mohd Ali Kamaruddin, 1981, UKM: Sejarah Penubuhan, Bangi, Penerbit UKM.
Rohani Abd. Rahim, Anisah Che Ngah, Kamal Halili Hassan, Aishah Hj. Bidin, Raja Rohana Raja Mamat, 1992, Hak Dan Tanggungjawab Akta Universiti Dan Kolej Universiti,Bangi, Penerbit UKM.

0 comments Links to this post